comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Laporan SC: SC pertimbang 77 permohonan berkaitan pengambilalihan, percantuman dan pemerolehan wajib pada 2022

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah mempertimbangkan 77 permohonan berkaitan pengambilalihan, percantuman dan pemerolehan wajib pada 2022 berbanding 79 permohonan pada 2021.

Bagaimanapun, SC tidak meluluskan dua daripada jumlah permohonan yang diterima pada 2022.

SC dalam Laporan Tahunan 2022 yang dikeluarkan hari ini berkata ia telah meluluskan 18 dokumen tawaran melibatkan jumlah nilai tawaran sebanyak RM2.10 bilion atau purata RM116.93 juta setiap tawaran, menurun RM6.49 bilion berbanding 18 tawaran dengan jumlah nilai tawaran sebanyak RM8.59 bilion atau purata RM477.17 juta setiap tawaran pada 2021.

“Daripada 18 tawaran tersebut, tiga tawaran dilaksanakan melalui skim berbanding tiga skim pada 2021,” katanya.

SC berkata pada tahun lepas, skim penswastaan Cocoaland Holdings Bhd oleh Fraser & Neave Holdings Bhd merupakan tawaran terbesar pada nilai tawaran RM0.49 bilion, mewakili 23 peratus daripada jumlah nilai tawaran pada 2022.

Tawaran lain yang ketara dari segi nilai tawaran termasuk Mulpha International Bhd dan Hextar Industries Bhd dengan nilai tawaran masing-masing berjumlah RM0.36 bilion dan RM0.24 bilion.

SC berkata daripada 18 tawaran pada 2022, 16 adalah berkaitan dengan syarikat penerima tawaran yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd, satu berkaitan dengan syarikat penerima tawaran yang disenaraikan di Pasaran LEAP Bursa Malaysia Securities Bhd dan satu berkaitan dengan syarikat awam tidak tersenarai.

“Terdapat lima pelaksanaan penswastaan pada 2022 berbanding tujuh pelaksanaan penswastaan pada 2021, empat daripadanya disenaraikan di Pasaran Utama dan satu disenaraikan di Pasaran LEAP.

“Kesemua lima syarikat telah dinyahsenarai daripada bursa saham,” katanya.

Daripada segi nilai tawaran, sektor produk dan perkhidmatan pengguna adalah yang tertinggi dengan nilai tawaran berjumlah RM0.99 bilion, mewakili 47 peratus daripada jumlah nilai tawaran dan melibatkan lima syarikat penerima tawaran atau 28 peratus daripada jumlah keseluruhan tawaran.

Sektor lain yang menarik perhatian ialah sektor produk dan perkhidmatan perindustrian dengan jumlah nilai tawaran sebanyak RM0.72 bilion, mewakili 34 peratus daripada jumlah nilai tawaran dan melibatkan enam syarikat penerima tawaran atau 33 peratus daripada jumlah tawaran.

Sementara itu, SC meluluskan 25 pekeliling nasihat bebas yang terdiri daripada 18 pekeliling berkaitan dengan tawaran/skim pengambilalihan dan tujuh pekeliling berkaitan dengan pengecualian daripada obligasi tawaran mandatori lanjutan daripada prosedur whitewash.

Dalam pada itu, tiga pekeliling whitewash diluluskan oleh SC pada 2022.

SC juga mempertimbangkan 11 permohonan untuk pengecualian daripada perlu melaksanakan tawaran pengambilalihan mandatori, di mana enam permohonan berkaitan dengan pengecualian whitewash.

Selain itu, SC turut mempertimbangkan 20 permohonan untuk pelbagai hal di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan dan Peraturan Pengambilalihan, Percantuman dan Pemerolehan Wajib, termasuk satu permohonan yang tidak diluluskan. – BERNAMA

Loading...
Terkini