comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Separuh pekerja sanggup berhenti jika kerjaya tidak berkembang

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Satu daripada dua rakyat Malaysia akan berhenti kerja jika tiada peluang kemajuan dalam kerjaya mereka, demikian menurut hasil kaji selidik terkini Randstad Malaysia.

Kajian itu meninjau 517 pekerja tempatan dan pencari kerja mengenai jangkaan kerjaya mereka dan pengalaman merentasi empat tema iaitu motivasi dan cita-cita, fleksibiliti, ekuiti dan pemahaman serta kecerdasan buatan (AI) dan kemahiran.

Data terkini itu juga menunjukkan rakyat Malaysia bimbang ekonomi boleh memberi kesan kepada keterjaminan pekerjaan mereka.

Di sebalik peralihan ekonomi, satu daripada dua rakyat Malaysia bimbang kehilangan pekerjaan, lebih tinggi terutamanya dalam kalangan Gen Z atau mereka yang lahir antara 1997 dan 2012 (59 peratus) dan milenial atau individu yang lahir antara 1981 dan 1996 (57 peratus).

Kajian itu juga menunjukkan 40 peratus peratus responden menyatakan bahawa mereka gembira dengan tempat kerja sekarang dan tidak mahu kemajuan kerjaya, manakala 53 peratus responden pula menyatakan bahawa adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk melatih dan meningkatkan kemahiran.

Pengarah Negara Randstad Malaysia, Fahad Naeem, berkata pasaran pekerjaan di Malaysia telah berkembang daripada model pertukaran secara langsung kepada majikan yang dapat memenuhi motivasi dan aspirasi unik bakat individu.

Beliau berkata, syarikat mesti mengutamakan komunikasi yang berkesan untuk memahami keperluan khusus seperti fleksibiliti, kemajuan kerjaya atau peluang latihan.

“Menggunakan pendekatan ‘mengutamakan bakat’ bagi menangani matlamat pekerja akan membantu sesebuah perniagaan berbeza daripada yang lain dan berjaya dalam dunia pekerjaan yang berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini