comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Tahap keyakinan peniaga tinggi enam bulan akan datang

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Jangkaan perniagaan di Malaysia dalam tempoh enam bulan akan datang dari Oktober 2022 hingga Mac 2023 kekal meyakinkan dengan imbangan bersih menyederhana kepada 5.9 peratus berbanding 12.2 peratus sebelum ini.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata sektor perdagangan borong dan runcit meramalkan prospek perniagaan yang menggalakkan dalam enam bulan akan datang dengan imbangan bersih 10.6 peratus, meningkat daripada trajektori negatif.

Beliau berkata, sektor perkhidmatan juga menjangkakan keadaan perniagaan yang lebih baik dengan imbangan bersih 30.8 peratus daripada 26.5 peratus yang dicatatkan sebelumnya.

“Semua subsektor di bawah sektor perkhidmatan meramalkan prospek positif untuk enam bulan akan datang di mana subsektor insurans, penginapan serta kesihatan menjadi subsektor yang paling optimistik.

“Sebaliknya, sektor industri berubah pesimis terhadap prospek perniagaan untuk enam bulan akan datang berakhir Mac 2023 dengan imbangan bersih -7.9 peratus daripada 14.5 peratus.

“Pada masa yang sama, sentimen dalam sektor pembinaan kekal negatif bagi Oktober 2022 hingga Mac 2023 dengan imbangan bersih -20.7 peratus berbanding -10.3 peratus,” katanya dalam satu kenyataan Statistik

Kecenderungan Perniagaan Suku Tahun Keempat 2022 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hari ini.
Penerbitan itu memaparkan jangkaan prestasi perniagaan bagi suku tahun dan enam bulan yang akan datang.

Statistik itu adalah berdasarkan Survei Kecenderungan Perniagaan yang dijalankan secara suku tahunan.

Mohd Uzir berkata, peniaga kekal positif terhadap situasi perniagaan walaupun terdapat tanda penyederhanaan pada suku tahun keempat 2022 dengan petunjuk keyakinan dicatatkan 3.2 peratus berbanding 4.7 peratus yang direkodkan pada suku tahun ketiga 2022.

Beliau berkata, sektor perkhidmatan, industri serta perdagangan borong dan runcit menjangkakan prospek yang positif pada suku tahun keempat 2022.

“Sentimen perniagaan dalam sektor perkhidmatan kekal menggalakkan dengan 9.2 peratus pada suku tahun rujukan berbanding 13.6 peratus pada suku tahun lalu.

“Begitu juga, sentimen dalam sektor industri kekal positif dengan mencatatkan 3.7 peratus pada suku tahun keempat 2022 berbanding 6.6 peratus.

“Sektor perdagangan borong dan runcit menjangkakan keadaan perniagaan yang bertambah baik dengan petunjuk keyakinan melonjak ke trajektori positif dengan 1.9 peratus daripada -5.8 peratus pada suku
tahun ketiga 2022,” katanya sambil menambah tinjauan positif itu disokong oleh subsektor perdagangan runcit di mana peniaga optimistik terhadap keadaan perniagaan.

Mohd Uzir menambah, sektor pembinaan adalah yang paling pesimistik untuk suku tahun berturut-turut dengan petunjuk keyakinan -29.2 peratus berbanding -24.9 peratus pada suku tahun sebelumnya.

“Secara keseluruhan, 32.5 peratus syarikat meramalkan hasil kasar mereka meningkat pada suku tahun keempat 2022 manakala 29.5 peratus meramalkan sebaliknya dan seterusnya mendorong kepada imbangan bersih 3.0 peratus,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini