comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Eksport syarikat peringkat pertengahan dijangka positif tahun depan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menjangkakan syarikat peringkat pertengahan tempatan akan terus mencatatkan hasil eksport yang positif tahun depan, kata Pengerusinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata, ia adalah hasil daripada penembusan pasaran baharu serta peluang daripada perjanjian perdagangan bebas sedia ada dan perjanjian dua hala yang disertai Malaysia.

“Syarikat peringkat pertengahan di bawah program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan (PPSPP) telah mencatatkan jumlah pendapatan tahunan secara kumulatif sebanyak RM33.90 bilion pada tahun 2022, sebanyak 61 peratus atau RM20.9 bilion adalah daripada hasil dijana melalui eksport.

“Pendapatan eksport ini mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 17.6 peratus berbanding tahun sebelumnya (2021) dan pada masa sama berjaya menembusi 55 pasaran baharu, anataranya ialah Australia, Greece, Chile dan Mauritius.

“Sumbangan besar eksport syarikat peringkat pertengahan ini turut memperkasakan pembangunan rantaian bekalan domestik yang merupakan tunjang utama ke arah memperkukuhkan daya saing syarikat peringkat pertengahan di pasaran global,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media sesi Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Peringkat Pertengahan 2023 yang berlangsung hari ini.

Reezal Merican berkata, PPSPP dijangka merekodkan prestasi lebih baik dan mempertahankan bahagian pasaran pada 2024 susulan penambahan pejabat MATRADE di luar negara tahun depan.

“Platform berkenaan dengan kekuatan MATRADE termasuk 46 pejabat global kami dan meningkat kepada 49 pejabat menjelang 2024 akan meningkatkan lagi keterlihatan jenama Malaysia di pasaran antarabangsa dan mengukuhkan eksport Malaysia secara digital.

“Saya mahu melihat lebih banyak syarikat peringkat pertengahan melibatkan diri dalam program PPSPP tahun depan. Mungkin kita boleh menambah sebanyak 50 buah syarikat pada 2024,” katanya.

Sebanyak 323 syarikat peringkat pertengahan (SSP) telah menyertai program PPSPP sejak 2014 termasuk 23 SPP bagi Wave 9 yang akan mengakhiri programnya pada bulan Disember tahun ini.-BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini