comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

TERAJU bantu syarikat Bumiputera terbabit laksana 5G

Projek 5G nasional adalah sebuah projek mega kerajaan yang bernilai hampir RM20 bilion – Foto Reuters

KUALA LUMPUR: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) menjalankan langkah memudah cara untuk membolehkan syarikat-syarikat Bumiputera terbabit dalam pelaksanaan rangkaian 5G negara.

Ia sejajar komitmen Digital Nasional Bhd (DNB) yang bersetuju memperuntukkan nilai kontrak sekurang-kurangnya 60 peratus diberi kepada syarikat Bumiputera, meliputi kerja-kerja pembangunan infrastruktur 5G termasuk pembekalan peralatan dan perkakasan serta pembekalan perkhidmatan.

Pembabitan syarikat Bumiputera juga akan meliputi aktiviti pasca pembangunan.

Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Datuk Md Silmi Abd Rahman, berkata selaku penyelaras utama agenda pemerkasaan Bumiputera, pihaknya akan terus memacu penyertaan syarikat-syarikat milik Bumiputera di sepanjang rantaian pelaksanaan 5G melalui pelbagai cara bagi mewujudkan ekosistem yang mampan dengan sokongan pelbagai pihak.

Beliau berkata, impak kewujudan ekosistem digital kepada Bumiputera adalah sangat besar, merangkumi pembangunan kandungan dan aplikasi, penciptaan kekayaan melalui ekonomi digital, hab pengeluaran komponen 5G seperti kabel fiber, perisian dan sel kecil, serta usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta tempatan.

“Golongan Bumiputera yang mempunyai kepakaran dan merit harus diberikan ruang dan peluang agar tidak tercicir dari bersama-sama menjulang pembangunan negara ke gerbang ekonomi masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, sektor ekonomi digital berpotensi untuk menghasilkan lebihan operasi kasar bernilai RM338.78 bilion dengan 427,138 peluang pekerjaan langsung dan tidak langsung menjelang 2030, seperti yang digariskan di dalam Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030).

Justeru, katanya adalah menjadi satu tanggungjawab kepada TERAJU untuk memastikan syarikat Bumiputera turut serta dalam ekosistem 5G secara inklusif. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini