comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Untung bersih Affin Bank meningkat enam kali ganda kepada RM872.37 juta pada suku ketiga

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Affin Bank Bhd melonjak lebih enam kali ganda kepada RM872.37 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept 2022 daripada RM133.20 juta setahun lalu.

Hasil bagi suku berkenaan meningkat kepada RM1.62 bilion berbanding RM552.49 juta pada tahun sebelumnya.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept 2022, keuntungan bersihnya menokok kepada RM1.16 bilion daripada RM320.09 juta setahun lepas manakala hasil naik kepada RM2.73 bilion daripada RM1.67 bilion sebelumnya.

“Pendapatan faedah bersih bagi tempoh sembilan bulan meningkat sebanyak RM 105.5 juta atau 16.2 peratus kepada RM 756.1 juta berbanding tempoh sama sebelum ini iaitu RM650.6 juta terutamanya disebabkan oleh pertumbuhan pinjaman/pembiayaan dan pelaburan kewangan pada 2022.

“Pendapatan daripada operasi perbankan Islam mencatatkan peningkatan sebanyak RM113.8 juta atau 29.2 peratus kepada RM503.6 juta tahun ke tahun berikutan pertumbuhan pembiayaan yang kukuh,” kata bank itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Dalam kenyataan berasingan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Wan Razly Abdullah berkata kumpulan itu terus menunjukkan peningkatan ketara dalam nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) apabila GIL terus turun kepada bawah dua peratus berbanding 3.14 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama 2021 disebabkan usaha pemulihan yang kukuh dan standard taja jamin yang lebih ketat.

Menurut kenyataan itu, kumpulan itu akan terus mengukuhkan rizabnya.

Di bawah pelan transformasinya, kumpulan itu menyasar untuk mencapai pulangan ekuiti sebanyak 10 peratus, memacu pertumbuhan pendapatan dan menggandakan asas pelanggannya kepada dua juta menjelang 2025 dengan memberi tumpuan kepada perbankan komuniti runcit dan perbankan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Ia juga akan mendorong pelan digitalisasi yang akan menyaksikan peningkatan dalam perbelanjaan modal teknologi maklumat kepada kira-kira RM330 juta pada 2023 daripada RM316 juta tahun ini. — BERNAMA

Loading...
Terkini