comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Untung sembilan bulan RHB meningkat kepada RM2.2 bilion

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih RHB Bank Bhd bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2023 meningkat 16.4 peratus kepada RM2.2 bilion, dipacu terutamanya oleh pendapatan berasaskan bukan dana yang lebih tinggi dan jangkaan kerugian kredit (ECL) lebih rendah.

Pendapatan diraih sepanjang tempoh itu adalah RM5.75 bilion, hasil daripada pendapatan berasaskan bukan dana yang lebih tinggi.

Pendapatan berasaskan dana bersih adalah RM4.11 bilion, disokong oleh kos pendanaan lebih tinggi terutama disebabkan oleh pertumbuhan deposit tetap sebanyak 14.9 peratus berbanding tempoh sama setahun lalu.

Sementara itu, pendapatan berasaskan bukan dana berjumlah RM1.64 bilion, terutamanya daripada keuntungan bersih lebih daripada pertukaran asing dan derivatif, selain pendapatan perdagangan dan pelaburan bersih.

Perbelanjaan operasi pula bertambah 3.3 peratus kepada RM2.71 bilion daripada kos kakitangan lebih tinggi, berpunca daripada pelarasan perjanjian kolektif selain kos pemasaran dan penubuhan yang lebih tinggi,

Sehubungan itu, nisbah kos berbanding pendapatan meningkat kepada 47.1 peratus berbanding dengan 44.3 peratus setahun lalu.

Mengulas pencapaian itu, Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Mohd Rashid Mohamad, berkata ekonomi malaysia dijangka berkembang untuk baki tahun ini, walaupun pada kadar yang sederhana, disokong oleh daya tahan berterusan dalam pelaburan awam dan swasta.

Beliau berkata, inisiatif di bawah Belanjawan 2024 dan rangka kerja Ekonomi MADANI, yang termasuk pelan utama seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK-12), dijangka memacu pertumbuhan ekonomi.

Katanya, bagi sektor perbankan, industri diunjur kekal mantap, dengan dasar monetari terus menyokong pertumbuhan ekonomi.

“Di sebalik ketidaktentuan, kumpulan terus mempertahankan prestasi kewangan yang mantap pada suku ketiga dan seterusnya sembilan bulan berakhir September 2023 dalam pada ia mengharungi persekitaran operasi mencabar.

“Asas kumpulan kekal teguh seperti dicerminkan dalam kedudukan kecairan dan modal yang sihat. Kami akan kekal berjaga-jaga kerana risiko daripada faktor luaran termasuk perkembangan semasa membabitkan ketegangan geopolitik selain cabaran di pasaran tertentu di mana kami operasi, mungkin menjejaskan pertumbuhan.

“Kami dalam landasan untuk mencapai sasaran Perkhidmatan Kewangan Mampan di bawah Strategi dan Hala Tuju Kemampanan lima tahun. Secara terkumpul, kami telah memperoleh lebih daripada RM19 bilion, bersamaan dengan 99 peratus daripada sasaran sebanyak RM20 bilion.

“Kami akan menyemak semula komitmen perkhidmatan kewangan mampan untuk memastikan kami akan terus berkembang dan memaksimumkan impak dalam menyokong perjalanan kemampanan mereka. Program Tindakan Iklim Kumpulan sedang berjalan dengan baik dan kami dalam laluan untuk membangunkan Laluan ke Sifar Bersih menjelang 2050,” katanya.

Loading...
Terkini