comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Untung bersih suku pertama 2023 RHB Bank naik 30.8 peratus kepada RM761.67 juta

RHB Bank Bhd.

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih RHB Bank Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 meningkat 30.8 peratus kepada RM761.67 juta daripada RM582.33 juta pada suku sama tahun lepas, terutamanya berikutan pendapatan bukan berasaskan dana yang tinggi dan jangkaan kerugian kredit (ECL) lebih rendah.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, menurutnya perolehan meningkat kepada RM3.92 bilion daripada RM2.81 bilion sebelum ini.

Dalam satu lagi makluman kepada Bursa Malaysia, RHB Bank berkata pendapatan bukan berasaskan dana naik 39.7 peratus kepada RM534.0 juta, terutamanya susulan keuntungan bersih lebih tinggi daripada pertukaran asing dan derivatif, serta pendapatan dagangan dan pelaburan bersih yang tinggi.

RHB Bank berkata ECL menyusut sebanyak 70.1 peratus kepada RM46 juta daripada ECL yang rendah bagi pinjaman dan masuk kira semula bersih ECL terhadap sekuriti, oleh sebab itu, nisbah caj kredit tahunan meningkat 0.10 peratus berbanding 0.29 peratus bagi tempoh sama tahun lepas.

Menurut kumpulan itu, pinjaman kasar dan pembiayaan bagi suku pertama 2023 meningkat enam peratus tahun ke tahun kepada RM213.4 bilion, disokong terutamanya oleh pertumbuhan dalam gadai janji, pembiayaan auto, perusahaan kecil dan sederhana serta perniagaan Singapura. Pinjaman dan pembiayaan domestik meningkat 4.7 peratus tahun ke tahun.

Pinjaman terjejas kasar setakat Mac 2023 berjumlah RM3.4 bilion dengan nisbah pinjaman terjejas kasar berjumlah 1.59 peratus berbanding RM3.3 bilion dan 1.55 peratus sehingga Disember 2022.

Deposit pelanggan kekal stabil tahun ke tahun pada RM226.4 bilion berikutan pertumbuhan deposit tetap sebanyak 9.9 peratus dengan komposisi akaun simpanan dan akaun semasa pada 28.1 peratus. Nisbah perlindungan mudah tunai kekal kukuh pada 147.3 peratus sehingga 31 Mac 2023.

Pengarah Urusan kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Mohd Rashid Mohamad berkata sektor perbankan domestik diunjurkan kekal berdaya tahan dengan asas kukuh, manakala dasar monetari kekal akomodatif, yang diperlihatkan oleh normalisasi kadar dasar semalaman kepada tiga peratus baru-baru ini.

“Kami kekal fokus untuk memperkukuh lembaran imbangan kami dan akan terus mempertahankan kedudukan modal dan mudah tunai kami yang teguh,” katanya.

Dari segi kemampanan, beliau berkata RHB Bank telah memperoleh lebih RM3 bilion bagi Perkhidmatan Kewangan Mampan pada suku pertama 2023 dan berada di landasan untuk mencapai aspirasi 2026 di bawah Strategi dan Pelan Hala Tuju Kemampanan.

“Dengan pencapaian terkumpul lebih RM14 bilion dalam Perkhidmatan Kewangan Mampan, bersamaan dengan 73 peratus daripada sasaran kami pada 2026 berjumlah RM20 bilion, kami akan terus memperhebat usaha dalam menyepadukan pertimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus dalam perniagaan dan proses membuat keputusan,” katanya.

BERNAMA

Loading...
Terkini