comscore
Tumpuan :
Dunia

10 maut, blok pangsapuri terbakar

Foto: Reuters

VALENCIA: Sekurang-kurangnya 10 maut dalam kebakaran besar di sebuah blok pangsapuri di bandar ketiga terbesar Sepanyol, Valencia, kata pihak berkuasa semalam.

Saksi berkata, kebakaran yang merebak pantas akibat ditiup angin kencang itu melanda blok di daerah El Campanar di Valencia dalam masa hanya setengah jam pada petang kelmarin.

Anggota bomba dengan topeng dan tangki oksigen dilihat menjalankan operasi di bangunan yang hangus semalam untuk mencari mayat atau mangsa yang terselamat.

Datuk Bandar Valencia, Maria Jose Catala berkata, setakat ini tiada lagi orang hilang dilaporkan, namun tidak menolak kemungkinan ada mangsa yang rentung.

Pihak berkuasa mengesahkan di laman X sudah menyemak jumlah kematian iaitu sembilan orang daripada 10 mangsa sewaktu proses mengenal pasti mayat di bangunan itu.

Dua anggota bomba juga mengalami kecederaan parah dan dimasukkan ke hospital.

Pengarah hotel SH Valencia Palace, Javier Valles, pula berkata, mereka kini menempatkan sementara 110 mangsa manakala, seorang pegawai wilayah berkata, mereka akan menerima bantuan kewangan untuk menampung kos harian.

Majoriti mangsa yang terselamat kini tinggal bersama saudara mara.

Perdana Menteri Pedro Sanchez yang mengunjungi tempat kejadian, semalam berkata penduduk ‘sudah kehilangan segala-galanya dalam beberapa minit dalam kebakaran yang dahsyat itu’.

Perkhidmatan kecemasan berkata, kebakaran bermula di tingkat empat namun tiada punca sebenar dinyatakan.

Seorang majistret tempatan juga sudah membuka siasatan terhadap punca kebakaran itu.

Wakil agensi pemeriksaan insurans APCAS, Esther Puchades, memberitahu RTVE, kekurangan penghadang api dan penggunaan bahan plastik poliuretana pada struktur menyumbang kepada kebakaran yang cepat.

Mangsa yang panik sebelum itu bergegas ke balkoni untuk mendapatkan bantuan apabila bara api mulai jatuh dan sekurang-kurangnya dua orang diselamatkan dari balkoni mereka menggunakan kren.

Valencia menetapkan tiga hari berkabung, membatalkan perlawanan bola sepak tempatan dan menggantung permulaan pesta tahunan ‘Fallas’ selama sebulan di bandar itu yang perlu menampilkan pembakaran patung kadbod besar dan pertunjukan bunga api. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini