comscore
Tumpuan :
Dunia

12 maut, 60 cedera akibat papan iklan runtuh di India

FOTO: Reuters

MUMBAI: Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan lebih 60 lagi cedera selepas papan iklan tumbang semasa ribut kuat di ibu negara kewangan India, Mumbai, kata pegawai semalam.

Sebuah jengkaut sedang digunakan bagi menggali serpihan ketika penyelamat berusaha mencari mangsa yang terselamat selepas papan tanda itu runtuh di sebuah stesen minyak di timur bandar itu, memerangkap berpuluh-puluh orang di bawahnya.

Seorang inspektor Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (NDRF), Gaurav Chauhan, berjata lapan mayat dikeluarkan dari sisa runtuhan manakala empat lagi mayat masih tertimbus di bawahnya.

“Kami telah mengesan mayat mereka tetapi tidak boleh mengeluarkannya kerana pam petrol ini terlalu hampir dan keadaan amat membahayakan,” katanya.

FOTO: Reuters

Terdahulu, dalam satu kenyataan, pihak berkuasa perbandaran berkata, 60 orang telah diselamatkan dan dimasukkan ke hospital.

Papan iklan yang runtuh itu berukuran 70 kali 50 meter, menurut catatan di platform media sosial X oleh pasukan polis Mumbai.

Mumbai dilanda angin kencang disertai hujan dan ribut debu pada Khamis yang menumbangkan pokok serta menyebabkan bekalan elektrik terputus seketika di beberapa bahagian bandar, selain gangguan pada rangkaian kereta api di bandar itu.

Laporan media India berkata penerbangan digantung sementara di lapangan terbang antarabangsa bandar itu, membabitkan sekurang-kurangnya 15 pesawat.

Timbalan Ketua Menteri negeri Maharashtra, Devendra Fadnavis berkata, mangsa yang cedera sedang dirawat di Hospital Rajawadi.

“Siasatan peringkat tinggi telah diarahkan ke atas tragedi itu,” kata Fadnavis dalam catatan di X. -AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini