comscore
Tumpuan :
Dunia

3,774 kanak-kanak Yaman maut dalam perang saudara

FOTO : REUTERS

DUBAI: Lebih 11,000 kanak-kanak dilaporkan dibunuh atau cacat sejak perang saudara Yaman merebak hampir lapan tahun lalu, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.

“Angka kematian sebenar dalam konflik ini dipercayai jauh lebih tinggi. Beribu-ribu kanak-kanak hilang nyawa, manakala ratusan ribu lagi diancam kebuluran atau wabak penyakit yang boleh dicegah,” kata Catherine Russel selaku pengarah eksekutif agensi kanak-kanak PBB, UNICEF.

Katanya, kira-kira 2.2 juta kanak-kanak Yaman berdepan kekurangan zat serius dengan satu perempat daripada mereka berumur bawah lima tahun.

Kebanyakan mereka juga berdepan risiko amat tinggi dijangkiti wabak kolera, demam campak dan penyakit lain yang boleh dicegah menerusi kempen vaksinasi.

Perang Yaman meletus pada 2014 dan menyaksikan pembe­rontak Houthi yang disokong Iran menguasai ibu negara, Sanaa.

Perkembangan itu mendorong campur tangan tentera pakatan diketuai Arab Saudi untuk mengembalikan kuasa kerajaan sebelumnya.

Beratus ribu orang terbunuh sejak itu, sama ada di­sebabkan oleh pertempuran atau meminum air tercemar, wabak pe­nyakit, kelaparan dan impak lain.

Angka terbaharu UNICEF mengesahkan seramai 3,774 kanak-kanak mati antara Mac 2015 hingga September 2022.

Satu gencatan senjata tajaan PBB bertahan selama enam bulan hingga 2 Oktober lalu, namun pihak-pihak yang berperang gagal bersetuju untuk melanjutkannya selepas itu.

UNICEF juga merayu dana AS$484.4 juta (RM2.14 bilion) untuk menangani krisis kemanusiaan Yaman. – AFP

Loading...
Terkini