comscore
Tumpuan :
Dunia

6,000 penduduk diarah berpindah susulan kebakaran hutan di barat Kanada

Asap tebal kelihatan berikutan kebakaran di hutan Grande Prairie berhampiran TeePee Creek, Alberta, Kanada pada 10 Mei lalu. – FOTO: Reuters

FORT MCMURRAY: Kira-kira 6,000 orang di empat kawasan pinggir bandar diarahkan berpindah berikutan kebakaran besar yang menghampiri bandar minyak persisiran pantai Fort McMurray, Kanada.

Kebakaran bermula sejak minggu lalu dan mengancam bandar Fort McMurray di wilayah barat Alberta susulan keadaan kering dan angin kencang.

Laporan terakhir menyebut api berada kira-kira 13 kilometer (km) ke barat daya Alberta.

Pegawai informasi kebakaran hutan Alberta, Josee St-Onge berkata kebakaran meningkat dengan ketara semalam berikutan tiupan angin kencang dari barat daya hingga mencapai tahap hingga 40 km/jam.

“Kami melihat corak kebakaran yang melampau. Jalur asap sedang berkembang dan langit diselubungi asap. Anggota bomba sudah ditarik keluar dari barisan api atas sebab keselamatan,” katanya.

Lebih 10,000 hektar kawasan hutan terbakar.

Dalam satu kenyataan, pihak berkuasa tempatan berkata penduduk di pinggir bandar Abasand, Beacon Hill, Prairie Creek dan Grayling diarah meninggalkan kawasan itu selewat-lewatnya pada 4 petang ini (2200 GMT).

Pada 2016, kebakaran besar di Fort McMurray memaksa 90,000 penduduk dipindahkan dan menutup lebih sejuta tong pengeluaran minyak sehari.

Penduduk, Elsie Knister berkata orang ramai di bahagian lain di Fort McMurray yang tidak berada di bawah arahan pemindahan juga mula beredar.

“Saya berusia 71 tahun dan saya tidak mahu melalui ini lagi, ia amat mengerikan,” katanya yang terpaksa berpindah pada 2016.

Pegawai berkata Fort McMurray kini bersedia untuk memadam kebakaran berbanding pada 2016.

Ketua bomba wilayah, Jody Butz berkata kebakaran ini sangat berbeza dari tahun 2016.

“Kami mempunyai banyak sumber dan kami berada pada kedudukan yang baik untuk bertindak balas terhadap situasi ini,” katanya.

Bandar itu mempunyai 250 hingga 300 anggota bomba yang bersedia untuk membantu melindungi struktur.

Fort McMurray ialah hab untuk industri minyak Kanada, yang menghasilkan kira-kira 3.3 juta tong sehari, dua pertiga daripada jumlah pengeluaran negara itu.

Seorang penganalisis di RBN Energy, Martin King berkata mereka perlu melihat sama ada tapak pengeluaran minyak turut terancam.

“Pada tahun 2016 kebakaran itu memaksa syarikat memindahkan orang untuk keselamatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini