comscore
Tumpuan :
Dunia

Aktiviti Gunung Ruang ‘masih tinggi’ – Agensi volkanologi 

TAGULANDANG: Letusan Gunung Berapi Ruang sekali lagi memuntahkan laharnya semalam, selepas hampir 12 kali meletus sejak Selasa lalu.

Menurut pegawai bertanggungjawab pada pagi Jumaat lalu, Gunung Ruang kembali tenang, tetapi ia mula mengeluarkan abu lagi beberapa jam kemudian.

Ia selepas pihak berkuasa mengekalkan tahap berjaga-jaga tertinggi dan memberitahu penduduk untuk menjauhi zon berkecuali sepanjang enam kilometer.

“Saya sangat terkejut, gunung itu meletus lagi. Kami takut,” kata Riko, seorang penduduk di pulau Tagulandang, 30 tahun.

Agensi gunung berapi negara itu berkata, letusan itu menghantar kepulan asap 400 meter di atas puncak.

Ratusan penduduk tempatan di Pulau Tagulandang yang berjiran dengan Pulau Ruang sebelum ini dilihat membersihkan bahan gunung berapi dari pelabuhan dan halaman rumah mereka pada pagi Jumaat dengan bantuan tentera dan pegawai polis.

Ada penduduk yang menceritakan mereka panik untuk menyelamatkan diri ketika letusan bermula beberapa hari lalu.

Penduduk lain merayu untuk mendapatkan lebih banyak bantuan dan menyatakan kebimbangan akan berlaku lagi letusan sebelum ia melanda.

“Kami amat memerlukan bantuan terpal secepat mungkin, untuk menutup sementara bumbung yang bocor,” kata Herman Sahoa, 64.

“Kami bimbang akan ada letusan susulan kerana ada maklumat mengenainya.

“Agensi volkanologi sebelum ini memberi amaran dalam satu kenyataan bahawa aktiviti Gunung Ruang “masih tinggi” dengan potensi bahaya termasuk batu terbang, awan panas dan aliran lava.

Ia menasihatkan semua penduduk untuk memakai pelitup muka untuk mengelakkan masalah pernafasan.

Pegawai pada Khamis berkata, komunikasi terputus di Pulau Ruang dan Pulau Tagulandang, yang menempatkan kira-kira 20,000 orang.

Lebih 6,000 penduduk Pulau Tagulandang dipindahkan, kata Joikson Sagunde, seorang pegawai dari agensi pengurusan bencana pulau Sitaro.

Tiada laporan kematian atau kecederaan tetapi pihak berkuasa berkata mereka berharap untuk memindahkan 11,000 orang dari zon terkecuali.–Agensi

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini