comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Letusan Gunung Ruang: MAS, AirAsia batal penerbangan ke/dari Sabah, Sarawak


KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines dan AirAsia membatalkan beberapa penerbangan Kuala Lumpur ke Sabah dan Sarawak serta dari Sabah dan Sarawak ke Kuala Lumpur hari ini, susulan letusan Gunung Ruang, Indonesia.

Sebanyak 11 penerbangan Sabah dan Kuala Lumpur yang dibatalkan oleh Malaysia Airlines adalah MH7420 (KUL-TWU), MH7421 (TWU-KUL), MH2612 (KUL-BKI), MH2621 (BKI-KUL), MH2710 (KUL-SDK), MH2711 (SDK-KUL), MH2610 (KUL-BKI), MH2611 (BKI-KUL), MH7404 (KUL-BKI), MH7405 (BKI-KUL) dan MH2613 (BKI-KUL).

“Lapan penerbangan Sarawak dan Kuala Lumpur yang dibatalkan adalah MH2520 (KUL-KCH); MH2513 (KCH-KUL); MH2542 (KUL-KCH); MH2543 (KCH-KUL); MH2574 (KUL-MYY); MH2575 (MYY-KUL); MH2742 (KUL-BTU) dan MH2473 (BTU-KUL).

“Memandangkan keadaan berubah-ubah, Malaysia Airlines akan terus memantau secara dekat sebarang perkembangan terkini. Maklumat lanjut mengenai pembatalan penerbangan akan dikemas kini dan dimaklumkan terus kepada penumpang yang terjejas,” katanya.

Malaysia Airlines sedang berusaha membantu penumpang yang terjejas akibat pembatalan kepada penerbangan alternatif sebaik sahaja keadaan bertambah baik.

“Penumpang diminta untuk mengemas kini butiran hubungan mereka melalui My Booking di laman web Malaysia Airlines untuk menerima kemas kini dari semasa ke semasa melalui e-mel dan SMS.

“Keselamatan penumpang dan anak kapal menjadi keutamaan kepada Malaysia Airlines,” katanya.

AirAsia pula membatalkan 16 penerbangan, dengan semua penumpang terjejas boleh membuat perubahan sekali kepada mana-mana tarikh perjalanan baharu, dalam tempoh 30 hari dari tarikh berlepas asal pada laluan yang sama tanpa kos tambahan, tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.

Sekurang-kurangnya 800 penduduk di Wilayah Sulawesi Utara dipindahkan susulan letusan Gunung Ruang.

Gunung berapi yang terletak di Pulau Ruang, kira-kira 100 kilometer dari ibu kota wilayah Manado itu meletus lebih tiga kali sejak semalam.

Rakaman menunjukkan aliran lava merah mengalir menuruni gunung dan ia dipantulkan di permukaan air serta asap kelabu berkepul di atas kawahnya.

Pulau Ruang adalah rumah kepada 838 penduduk, kebanyakan mereka dipindahkan ke Pulau Tagulandang terdekat.

Indonesia terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik, kawasan aktiviti seismik tinggi yang terletak di atas beberapa plat tektonik.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini