comscore
Tumpuan :
Dunia

Ancaman ke atas Masjid Al-Aqsa perlu dihentikan – Erdogan

FOTO: Reuters

ANKARA: Serbuan polis Israel ke atas Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki satu tindakan yang “tidak boleh diterima” sama sekali, kata Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.

Beliau turut menggesa Israel untuk menghentikan tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan.

“Pencerobohan dan ancaman terhadap kesucian dan kepentingan sejarah Masjid Al-Aqsa serta kebebasan beragama dan hidup rakyat Palestin mesti dihentikan,” kata Erdogan dalam wawancara televisyen, lapor Agensi Anadolu.

Kenyataannya itu dibuat berikutan ketegangan yang semakin memuncak selepas polis Israel menahan kira-kira 350 jemaah di kompleks Masjid Al-Aqsa.

“Kami akan terus berdiri teguh di sisi saudara Palestin kami dalam apa jua keadaan dan untuk melindungi nilai-nilai suci kami. Israel juga harus sedar perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Anadolu melaporkan bahawa Kementerian Luar Rusia turut menyuarakan kebimbangan dengan situasi di Masjid Al-Aqsa dan menyifatkan apa yang berlaku di Baitulmaqdis umpama “memusuhi semua agama di dunia.”

Moscow turut menggesa Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres untuk memberi perhatian yang teliti kepada penempatan Israel-Palestin, menggesa untuk mencari punca kepada tercetusnya keganasan baharu di Palestin dan merangka cadangan bagi memulihkan kestabilan. – BERNAMA

Loading...
Terkini