comscore
Tumpuan :
Dunia

Arab Saudi menang bidaan tuan rumah Ekspo Dunia 2030

FOTO: Reuters

RIYADH: Arab Saudi dipilih sebagai negara tuan rumah Ekspo Dunia 2030 yang dijadualkan berlangsung dari Oktober 2030 hingga Mac 2031, selepas undian secara tertutup diadakan pada Perhimpunan Agung ke-173 Bureau International des Expositions (BIE) di Paris pada Selasa.

Sebanyak 119 negara menyokong pencalonan Riyadh, mengatasi bidaan pesaing dari Korea Selatan dan Itali.

Pemilihan Arab Saudi sebagai tuan rumah itu sejajar dengan visi Putera Mahkota dan Perdana Menteri Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud sekaligus menjadi pencapaian penting dalam merealisasikan matlamat dan inspirasi pembangunan, ekonomi dan sosial Wawasan Saudi 2030, lapor Media Saudi (SPA).

Ekspo Dunia yang merupakan antara pameran tertua dan paling berprestij di dunia itu berlangsung setiap lima tahun selama enam bulan.

Edisi pertama berlangsung pada tahun 1851 di London dan sejak itu, perhimpunan dunia berkenaan diadakan secara berterusan selama lebih 170 tahun.

Ekspo Dunia terbaharu berlangsung di Dubai manakala edisi 2025 akan diadakan di Osaka, Jepun. – BERNAMA-SPA

Loading...
Terkini