comscore
Tumpuan :
Nasional

Enam peserta ekspedisi QMEPWK66 tiba dari London

BUKIT KAYU HITAM: Selepas merentasi 16 negara yang meliputi perjalanan sejauh hampir 22,000 kilometer (km), akhirnya enam rakyat Malaysia yang menyertai Quantum Metal Ekspedisi Perpaduan Watikah Kemerdekaan 66, London-Kuala Lumpur (QMEPWK66) tiba di tanah air, hari ini.

Mereka berlepas dari London pada 20 Jun lalu.

Peserta yang terdiri daripada Arep Kulal, Asmadi Saad, Effendy Rashid, Mohd Farid Mohd Yusof, Yusyafizal Mohd Yusop dan Ahmad Fadali Baharudin tiba pada jam 12 tengah hari tadi di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

Mereka disambut pelbagai pihak termasuk wakil Jabatan Imigresen, Tourism Malaysia dan Persatuan Superbikers Malaysia (SAM).

Ekspedisi itu dijadual singgah di Pulau Pinang sebelum meneruskan perjalanan ke ibu negara bagi menyertai perarakan sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Putrajaya, Khamis ini.

QMEPWK66 membawa misi ‘memupuk semangat perpaduan untuk memelihara kedaulatan negara’ yang seterusnya memberi gambaran kepada dunia mengenai perpaduan rakyat Malaysia pelbagai kaum dalam menyokong usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara majmuk yang berjaya.

Program itu ibarat mengimbas kembali kenangan tahun 1957, apabila Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj membawa watikah pengisytiharan kemerdekaan Malaya dari London.

Sementara itu, Ketua Ekspedisi, Arep Kulal berkata, mereka bersyukur kerana akhirnya selamat kembali ke Malaysia setelah melalui pelbagai rintangan sepanjang perjalanan menaiki motosikal berkuasa tinggi.

“Cabaran yang dilalui amat sukar untuk digambarkan apabila kami berhadapan dengan keadaan jalan raya, etika pemanduan dan cuaca yang berbeza sepanjang laluan yang kami lalui.

“Namun kami bersyukur, segala cabaran tersebut tidak mematahkan semangat untuk meneruskan ekspedisi demi merealisasikan impian merdeka,” katanya ketika ditemui.

Peserta ekspedisi bersujud syukur sebaik tiba di pintu masuk negara di Bukit Kayu Hitam selepas menjelajah 22,000 kilometer dari London – Foto: NSTP

Pada sambutan itu, mereka turut diiringi kira-kira 274 peserta termasuk penunggang motosikal berkuasa tinggi daripada SAM yang menyertai Konvoi Kembara Merdeka 66 Malaysia Madani.

Timbalan Presiden SAM, Datuk Sulaiman Sami’aan berkata, aktiviti itu sebahagian daripada langkah untuk menyampaikan semangat cinta terhadap negara bagi mengingati perjuangan perit golongan terdahulu untuk mencapai kemerdekaan.

“Hari ini SAM menyambut ketibaan enam peserta QMEPWK66 yang menjayakan misi mereka dari London sebelum berakhir di Putrajaya, Alhamdulillah semua mereka selamat tiba dan kita mengatur beberapa aktiviti sampingan untuk menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan tahun ini,” katanya.

QMEPWK66 dianjurkan Global Bike Explorer Sdn Bhd, manakala Quantum Metal Sdn Bhd bertindak sebagai penaja utama manakala GB13, KMF Network serta Bullion Suceess Group adalah penaja bersama.

Loading...
Terkini