comscore
Tumpuan :
Dunia

AS, Britain tuntut taikun media Jimmy Lai dibebaskan

Taikun media pro demokrasi, Jimmy Lai (tengah) ketika dibawa masuk ke mahkamah pada 12 Disember 2020. FOTO: Reuters

HONG KONG: Amerika Syarikat (AS) dan Britain menuntut taikun media pro demokrasi, Jimmy Lai yang dibicarakan di sini semalam atas tuduhan berkaitan keselamatan negara dan berdepan hukuman penjara seumur hidup, dibebaskan.

Lai, 76, dituduh `bersubahat’ dengan pasukan asing di bawah undang-undang keselamatan negara menyeluruh yang dikenakan China pada 2020.

Beliau adalah pengasas tabloid berbahasa Cina, Apple Daily yang kini ditutup, kerana sering mengkritik China dan menyokong gerakan protes besar di sini pada 2019.

Perbicaraan terhadap Lai sedang dipantau dengan teliti sebagai pengukur bagi kebebasan politik dan kebebasan kehakiman Hong Kong.

Lai yang memperoleh kekayaan hasil daripada menjual pakaian sebelum berkembang menjadi taikun media, dibicarakan tanpa juri dan dinafikan untuk mendapatkan peguam utama pilihannya.

Beliau yang jarang dilihat ditempat terbuka sejak 2021, tampil di mahkamah semalam dengan memakai sut dan kelihatan kurus berbanding sebelumnya. Beliau dilihat tersenyum dan melambai galeri, tempat keluarganya duduk.

Lai adalah warganegara British dan beberapa wakil dari konsulat asing daripada AS, Britain, Australia dan Kanada turut hadir pada proses perbicaraan itu.

Kes Lai mendapat kecaman meluas daripada masyarakat antarabangsa namun China menolak kritikan berkenaan sebagai fitnah dan campur tangan.

Jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin menuduh AS dan Britain melakukan pilih kasih dan menyifatkan Lai sebagai budak suruhan pasukan anti-China.

“Kenyataan daripada AS dan United Kingdom mengenai kes itu adalah melanggar semangat kedaulatan undang-undang dan ia membentuk kepada gerakan politik yang terang-terangan,” katanya.

Setiausaha Luar Britain, David Cameron berkata dalam satu kenyataan sebelum prosiding bermula berkata pihaknya prihatin dengan pendakwaan bermotif politik ke atas Lai.

“Sebagai penerbit terkemuka dan lantang, Jimmy Lai menjadi sasaran dalam usaha untuk menghentikan pelaksanaan aman hak untuk kebebasan bersuara dan aktiviti berpersatuan.

“Saya menyeru pihak berkuasa Hong Kong untuk menamatkan pendakwaan mereka dan membebaskan Jimmy Lai,” katanya.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller juga menggesa agar Lai dibebaskan.

“Tindakan yang menyekat kebebasan akhbar menjejaskan institusi demokrasi Hong Kong,” katanya.

Loading...
Terkini