comscore
Tumpuan :
Dunia

Beijing, Tianjin dan Hebei pergiat usaha tangani banjir

Pekerja penyelamat menaiki bot menyusuri jalan yang dinaiki air di kawasan kejiranan di Beijing, China, 1 Ogos 2023.

BEIJING: Kerajaan China pada Selasa memperuntukkan dana sebanyak 110 juta yuan (RM69.7 juta) untuk membantu usaha mengatasi banjir di bandar Beijing, Tianjin dan wilayah Hebei.

Dana itu akan digunakan untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta membantu mangsa banjir, termasuk memindahkan mereka ke tempat yang selamat dan memulihkan kediaman yang rosak.

Selain itu, dana berkenaan juga akan digunakan untuk operasi mengesan dan menghapuskan risiko yang boleh mencetuskan bencana susulan.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan memperuntukkan subsidi sebanyak 842 juta yuan (RM533 juta) untuk menyokong usaha menangani banjir dan kemarau di 12 wilayah termasuk Hebei.

Kementerian itu turut menyeru supaya badan kewangan tempatan mengoptimumkan subsidi berkenaan, dengan menjadikan keselamatan nyawa dan harta benda penduduk sebagai keutamaan.

Sementara itu, Persatuan Palang Merah China (RCSC) turut mengerahkan tiga kumpulan kerja ke kawasan bencana di Beijing, Tianjin dan Hebei.

Persatuan berkenaan turut menyediakan barang bantuan sebanyak 7,700 set yang merangkumi khemah, katil lipat, selimut dan kit kecemasan untuk mangsa banjir di Hebei.

Terdahulu, RCSC mengagihkan sebanyak 1,000 kit kecemasan untuk membantu penduduk Tianjin yang terkesan akibat bencana banjir. – BERNAMA-CMG

Loading...
Terkini