comscore
Tumpuan :
Dunia

Pakar bedah digantung tugas pukul pesakit ketika pembedahan

Rakaman kamera pengawasan ketika pembedahan yang mendedahkan pakar bedah memukul pesakit. Foto Agensi

BEIJING: Seorang pakar bedah digantung tugas selepas didakwa memukul kepala pesakit wanita berusia 82 tahun ketika pembedahan mata sedang dijalankan, lapor portal Independent.

Insiden yang dipercayai berlaku pada 2019 di hospital oftalmologi di Guigang, China, yang dikendalikan oleh Aier China itu dirakamkan melalui kamera pengawasan.

Video itu kemudiannya didedahkan di Weibo oleh Pengarah Jabatan Kecemasan Hospital Pusat Wuhan, Dr Ai Fen.

Video yang dikongsikan itu memaparkan pakar bedah itu memukul kepala pesakit sebanyak tiga kali ketika menukar posisi.

Mangsa dilihat tersentak dan mengadu kesakitan selepas dipukul.

Kejadian itu turut disaksikan oleh seorang pembantu perubatan yang cuba menahan pesakit itu daripada melakukan pergerakan.

Menurutnya, pesakit itu dilapor mengalami lebam di dahi kiri selepas kejadian itu.

“Ketika pembedahan, disebabkan bius pesakit tidak bertoleransi dan cuba menyentuh matanya. Sekali disentuh, ia boleh menyebabkan jangkitan. Doktor mahu mengelakkan bahaya.

“Wanita itu juga berdialek tempatan menyebabkan dia tidak dapat memahami arahan pakar bedah dalam bahasa Mandarin,” katanya.

Pihak berkuasa China dilaporkan sedang melakukan siasatan atas insiden itu.

Pakar bedah terbabit dikatakan berbuat demikian atas alasan pesakit itu didakwa gagal mengikut arahan.

Pesakit itu dipercayai menggerakkan kepala dan matanya sebanyak beberapa kali semasa prosedur itu dijalankan.

Dalam satu hantaran dimuat naik, wanita itu mengakui hampir kehilangan penglihatan di sebelah matanya selepas menerima rawatan di hospital itu.

Malah, dia juga dikatakan terbabit dalam pertikaian undang-undang dengan Aier China, yang mengendalikan rangkaian hospital mata.

Bagaimanapun, anak lelaki pesakit itu dilaporkan menerima permohonan maaf dan pampasan sebanyak 500 yuan (kira-kira RM325) daripada hospital.

Anak pesakit itu menegaskan ibunya kini buta di mata kiri namun tidak menjelaskan adakah ia berpunca daripada perbuatan pakar bedah itu.

Loading...
Terkini