comscore
Tumpuan :
Dunia

China dedah lelaki dihukum mati kerana jual rahsia kepada AS

Dewan Besar Rakyat yang menjadi venue Persidangan Perundingan Politik Rakyat China (CPPCC) di Beijing, China pada 10 Mac 2021. – FOTO: Reuters

BEIJING: China menyatakan buat pertama kali hari ini bahawa seorang lelaki yang dihukum mati kerana mengintip pada 2016 telah menjual rahsia kepada Amerika Syarikat (AS).

Dalam video disiarkan sempena kempen untuk mempromosikan kejayaan China dalam memerangi pengintipan asing, China mengesahkan Huang Yu dihukum bunuh pada Mei 2016, sebulan selepas sabitan dan hukuman mati diputuskan.

Pada masa itu, China tidak memberikan butiran mengenai negara dibantu Huang itu.

Dalam video hari ini, seorang juruhebah juga tidak menyebut secara spesifik nama negara berkenaan, namun imej yang ditunjukkan tertera bendera dan bangunan Capitol AS.

Kedutaan AS belum memberi sebarang maklum balas.

CCTV melaporkan lelaki dari wilayah Sichuan itu sudah menyerahkan rahsia, termasuk butiran mengenai komunikasi tentera China, kepada kerajaan asing.

Sebelum ini, China berkata Yu dibayar AS$700,000 (RM3.34 juta) oleh pengendali asingnya, sebelum ditahan pada 2011.

Video hari ini adalah sebahagian kempen di media China untuk meningkatkan kesedaran mengenai apa yang Beijing lihat sebagai ancaman pengintip asing serta untuk meraikan kejayaan balas pengintipan China.

Dalam kenyataan berasingan hari ini, Kementerian Keselamatan Negara China berkata akan berusaha untuk ‘mencipta senjata’ menerusi undang-undangnya untuk membanteras pengintipan.

Tahun lalu, penggubal undang-undang meluluskan pindaan meluas kepada undang-undang antipengintipan China, melarang pemindahan sebarang maklumat yang dianggap berkaitan keselamatan negara, satu langkah yang mencetuskan kebingungan kepada beberapa perniagaan dan pelabur asing.

Kementerian itu juga mengeluarkan video tiga minit lakonan semula, menunjukkan seorang pengintip China yang menyusup masuk ke mesyuarat, pejabat dan makmal untuk mengumpul maklumat, kemudian ditangkap.

Bagaimanapun, video itu tidak menjelaskan sama ada ia merujuk kepada kes tertentu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini