comscore
Tumpuan :
Dunia

Filipina enggan beri kerjasama siasatan ICC kes ‘perang banteras dadah’.

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr

MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, menegaskan kerajaannya tidak akan bekerjasama dengan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk menyiasat kes ribuan pembunuhan dilaporkan berlaku ketika ‘perang banteras dadah’ yang dilancarkan pemimpin terdahulu.

Marcos kekal dengan pendirian bahawa mahkamah itu tiada bidang kuasa ke atas Filipina yang menarik diri daripada ICC sejak Mac 2019.

Kenyataan Marcos itu menyusul beberapa hari selepas hakim rayuan di ICC menolak cubaan Filipina untuk menyekat siasatan pendakwa raya mahkamah berkenaan ke atas kempen antinarkotik oleh bekas Presiden, Rodrigo Duterte.

Kumpulan hak asasi manusia mendakwa ribuan orang terbunuh ketika operasi membanteras dadah yang membabitkan kejadian tembak-menembak, sepanjang tempoh enam tahun pentadbiran Duterte sebelum ini.

Polis mengesahkan kira-kira 6,200 kematian, namun menolak tuduhan berlakunya penyembunyian kes dan pembunuhan secara sistematik.

Ujar Marcos, jenayah didakwa itu mesti ditangani dalam Filipina sendiri kerana ia dilaporkan berlaku di wilayah negara berkenaan.

Kementerian Keadilan juga berjanji pihaknya akan menjalankan siasatan secara adil terhadap isu itu.

Walaupun Filipina tidak lagi menjadi penandatangan tribunal antarabangsa berkenaan, pendakwa raya utama ICC berpendirian mahkamah terbabit mempunyai bidang kuasa kerana negara terbabit belum menarik diri daripadanya ketika jenayah itu berlaku.

Loading...
Terkini