comscore
Tumpuan :
Dunia

Forum Air Dunia Ke-10: Badan PBB gariskan dua cara untuk elak krisis air

Seorang peserta sedang berjalan ke venue pembukaan Forum Air Dunia ke-10 di Nusa Dua, Bali, Indonesia. – FOTO: Reuters

BADUNG: Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Asia dan Pasifik (ESCAP) menekankan dua langkah ke arah membantu memastikan kekurangan air bermusim, kemarau dan bencana berkaitan air tidak bertukar menjadi krisis yang berlarutan.

Langkah pertama adalah kerjasama dalam sumber air bersama dengan meningkatkan usaha kolaboratif antara negara, wilayah, sektor dan pihak berkepentingan, kata Setiausaha Eksekutif ESCAP PBB, Armida Alisjahbana.

“Selain menggerakkan sumber baharu dan mempromosikan inovasi, kerjasama boleh membantu menutup jurang pembiayaan. Perkongsian awam-swasta dalam kecekapan air boleh membantu,” katanya dalam satu sidang media di luar Forum Air Dunia ke-10 di Nusa Dua, Badung, Bali, pada Selasa, lapor ANTARA.

Alisjahbana berkata tindakan kolaboratif yang menggabungkan agenda mitigasi, adaptasi dan pengurangan risiko bencana juga boleh membantu mengecilkan jurang pembiayaan.

“Keperluan pembiayaan adaptasi yang belum dipenuhi dianggarkan oleh ESCAP pada US$144.74 bilion setiap tahun, secara purata, untuk Asia dan Pasifik sahaja,” katanya.

Langkah kedua untuk mencegah krisis air, menurut Alisjahbana adalah pelaburan dalam sistem data untuk sistem amaran awal bencana.

“Data yang lebih baik untuk sistem amaran awal yang berkesan boleh mengurangkan kerugian bencana sehingga 60 peratus,” katanya.

Jelasnya, ketika ini PBB dan kerajaan di rantau Asia-Pasifik sedang bekerjasama untuk menyampaikan sistem amaran awal pelbagai bahaya.

Di kalangan agensi PBB, pihak terlibat termasuk ESCAP, Pejabat PBB untuk Pengurangan Risiko Bencana (UNDRR), Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dan Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC).

Sementara itu, Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) sedang memetakan simpanan air bawah tanah untuk menyokong perancangan kesiapsiagaan dan adaptasi.

Laporan Air Dunia terkini bertemakan “Air untuk Keamanan dan Kemakmuran” menyatakan bahawa disebabkan perubahan iklim, kekurangan air bermusim dijangka meningkat – bahkan di kawasan yang kini mempunyai banyak air seperti Afrika Tengah, Asia Timur dan sebahagian Amerika Selatan.

Air akan menjadi lebih terhad di tempat yang sudah kekurangan bekalan.

Menurut data UNICEF, kira-kira 2.2 bilion orang tidak mempunyai akses kepada air minuman selamat dan separuh daripada populasi global tidak mempunyai akses kepada sanitasi yang selamat.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof adalah ketua delegasi Malaysia ke forum itu. – BERNAMA-ANTARA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini