comscore
Tumpuan :
Dunia

Gunung Ibu di Maluku Utara meletus, muntahkan debu sejauh 7km

Gunung Ibu di Maluku Utara menyemburkan debu sejauh 7 kilometer sejak letusan pertama pada jam 12.35 tengah hari tadi waktu Indonesia timur. FOTO: Reuters.

JAKARTA: Gunung Ibu yang terletak di Pulau Halmahera Barat, wilayah Maluku Utara, meletus lagi pada 12.35 waktu Indonesia timur, memuntahkan debu sehingga kira-kira tujuh kilometer jauh.

Hemburan debu berlangsung selama kira-kira 10 minit.

Letusan itu juga mengeluarkan pasir yang dibawa ke arah barat oleh angin sehingga sampai ke pos pemerhatian gunung berapi dan pusat perlindungan sementara di Kampung Gam Ici, yang masih dihuni beberapa penduduk susulan peningkatan letusan baru-baru ini.

“Keadaan semasa letusan adalah agak tenang, tanpa ada panik dalam kalangan penduduk,” kata jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), Abdul Muhari dalam satu kenyataan.

Penduduk dinasihatkan supaya mengelak daripada melakukan aktiviti luar dan menggunakan pelitup muka yang disediakan sebelum ini untuk melindungi diri daripada masalah pernafasan.

Abdul Muhari memaklumkan bahawa debu Gunung Ibu tidak jelas kelihatan dari pos pemerhatian kerana kabus tebal dan awan.

Menurut Abdul Muhari, kakitangan BNPB dan Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Halmahera Barat berada di kawasan terjejas untuk memantau dan melaksanakan langkah kecemasan yang diperlukan. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini