comscore
Tumpuan :
Dunia

Hampir semua negara di dunia menjadi penyumbang kepada pencemaran udara

Foto: Reuters

WASHINGTON – Satu laporan baharu mendedahkan hampir semua negara di seluruh dunia mempunyai kualiti udara yang tidak sihat pada tahun lepas, sekali gus menyebabkan pencemaran udara melonjak ke tahap yang amat membimbangkan, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.

Laporan dikeluarkan syarikat yang menjejaki kualiti udara di seluruh dunia, IQAir itu mendapati, purata pencemaran udara tahunan di kira-kira 90 peratus buah negara dan wilayah yang dianalisis adalah melebihi garis panduan kualiti udara Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

IQAir menganalisis purata kualiti udara di 131 buah negara dan wilayah. Ia dihasilkan bagi membantu kerajaan-kerajaan seluruh dunia membuat peraturan untuk melindungi kesihatan awam.

Berdasarkan laporan tersebut, hanya enam negara iaitu Australia, Estonia, Finland, Grenada, Iceland dan New Zealand di samping tujuh wilayah di Pasifik serta Caribbean termasuk Guam dan Puerto Rico memenuhi garis panduan kualiti udara WHO.

WHO mengetatkan garis panduan pencemaran udara tahunannya pada September 2021 dengan mengurangkan jumlah zarah halus yang boleh diterima daripada 10 kepada 5 mikrogram setiap meter padu.

Sementara tujuh negara iaitu Chad, Iraq, Pakistan, Bahrain, Bangladesh, Burkina Faso, Kuwait dan India pula mempunyai kualiti udara yang amat teruk serta jauh melebihi garis panduan WHO dengan purata pencemaran udara melebihi 50 mikrogram setiap meter padu.

Kajian itu melihat secara khusus pada zarah halus atau digelar PM2.5 yang merupakan bahan pencemar terkecil tetapi juga paling berbahaya.

Apabila disedut, PM2.5 bergerak jauh ke dalam tisu paru-paru dan boleh memasuki aliran darah. Ia berpunca daripada sumber seperti pembakaran bahan api fosil, ribut pasir, kebakaran hutan serta dikaitkan dengan beberapa masalah kesihatan seperti asma, penyakit jantung termasuk penyakit pernafasan lain.

Sementara itu, laporan yang sama turut mengetengahkan ketidaksamaan yang membimbangkan iaitu kekurangan stesen pemantauan di negara membangun di Afrika, Amerika Selatan dan Asia Barat yang mengakibatkan kekurangan data kualiti udara di wilayah-wilayah tersebut.

Walaupun Afrika menyaksikan pertambahan dari segi bilangan negara yang dimasukkan dalam laporan itu berbanding 2021, benua tersebut sebahagian besarnya masih kekal sebagai yang paling kurang diwakili dalam senarai berkenaan.

Menurut IQAir, hanya 19 daripada 54 negara Afrika mempunyai data yang mencukupi daripada stesen pemantauannya.

Ketua Pegawai Eksekutif IQAir Amerika Utara, Glory Dolphin Hammes berkata, setiap kali laporan berkenaan menambah negara baharu yang pernah mengalami kekurangan data kualiti udara seperti yang berlaku dengan Chad pada 2021, negara tersebut pasti akan berada di kedudukan atas senarai yang paling tercemar. – AGENSI

Loading...
Terkini