comscore
Tumpuan :
Dunia

ICC tolak rayuan Filipina sekat siasatan perang dadah Duterte

THE HAGUE: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menolak rayuan Filipina terhadap siasatan mahkamah berkenaan ‘Kempen memerangi dadah’ bekas Presiden Rodrigo Duterte.

Agensi Anadolu melaporkan, tiga daripada lima hakim yang bersidang semalam mengundi menolak rayuan itu yang pada dasarnya membenarkan siasatan diteruskan.

Hakim ICC, Marc Perrin de Brichambaut yang mengetuai barisan panel hakim yang mendengar rayuan itu berkata, majoriti hakim mendapati Filipina gagal menunjukkan sebarang kesilapan semasa praperbicaraan.

Hakim Solomy Balungi Bossa dari Uganda, Luz del Carmen Ibanez Carranza (Peru) dan Piotr Hofmanski (Poland) mengundi menolak rayuan Manila, manakala Brichambaut (Perancis) dan Hakim Gocha Lordkipanidze (Georgia) membuat keputusan bertentangan.
Bagaimanapun, mahkamah berkata keputusan itu ‘bukan keputusan mengenai bidang kuasa’.

Pada September 2021, ICC secara rasmi membenarkan penyiasatan ke atas kemungkinan jenayah terhadap kemanusiaan berlaku ketika Duterte menjadi presiden, tetapi menggantung keputusan itu pada November tahun itu atas permintaan Manila, yang mengatakan ia akan menjalankan siasatannya sendiri.

Bagaimanapun, pada Januari tahun ini, ICC berkata mahkamah menyambung semula siasatannya kerana tidak berpuas hati terhadap siasatan Filipina.

Manila turut merayu keputusan itu.

Ribuan rakyat Filipina dibunuh oleh penguat kuasa undang-undang dalam usaha Duterte memerangi dadah.

Manila menarik diri daripada Statut Rom pada 2018, hanya beberapa minggu selepas ICC pada awalnya membenarkan siasatan terbabit, dengan Duterte mengeluarkan kenyataan mengatakan mahkamah ‘tidak mempunyai bidang kuasa dan tidak akan memperoleh bidang kuasa’ ke atasnya.

Namun, mahkamah tertinggi meneruskan kes itu berdasarkan Statut Rom yang menyatakan bahawa bidang kuasanya meliputi jenayah yang dilakukan sebelum penarikan balik perintah itu.

Loading...
Terkini