comscore
Tumpuan :
Dunia

Iran, Arab Saudi jalin semula hubungan diplomatik

Menteri Negara Saudi dan Penasihat Keselamatan Negara, Musaed Mohammed Al-Aiban bertemu Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi, Laksamana Muda Iran Ali Shamkhani dan Pengarah Pejabat Suruhanjaya Hal Ehwal Luar Pusat China, Wang Yi, di Beijing, China pada 10 Mac 2023. – FOTO: REUTERS

TEHRAN: Iran dan Arab Saudi bersetuju memulihkan hubungan dan membuka semula misi diplomatik.

Pengumuman hasil rundingan yang dikendalikan China itu dilihat bakal meninggalkan pelbagai kesan di seluruh Asia Barat.

Dalam satu kenyataan trilateral, Iran dan Arab Saudi memaklumkan akan membuka semula kedutaan dan misi diplomatik dalam tempoh dua bulan dan melaksanakan perjanjian kerjasama keselamatan dan ekonomi yang ditandatangani lebih 20 tahun lalu.

“Susulan beberapa rundingan, Iran dan Arab Saudi bersetuju untuk menjalin semula hubungan diplomatik dan membuka semula kedutaan dan misi dalam tempoh dua bulan,” kata kenyataan bersama itu, yang diterbitkan dalam media rasmi kedua-dua negara.

Riyadh memutuskan hubungan dengan Tehran selepas penunjuk perasaan Iran menyerang misi diplomatik Arab Saudi pada 2016, susulan negara itu menjalankan hukuman mati terhadap ulama Syiah, Nimr al-Nimr, serta beberapa pertembungan lain.

Pengumuman semalam itu hasil rundingan selama lima hari di Beijing dan beberapa siri dialog di Iraq dan Oman, menyimpulkan penjajaran dan usaha untuk mengurangkan ketegangan di rantau itu.

Pengenduran ketegangan antara Arab Saudi, negara pengeksport minyak terbesar dunia dan Iran, yang di pulau negara Barat kerana program nuklearnya, berpotensi membentuk semula hubungan di seluruh Asia Barat yang sinonim dengan ketegangan sejak berpuluh tahun lalu.

Iran dan Arab Saudi menyokong pihak bertentangan dalam beberapa zon konflik termasuk Yaman, di mana pemberontak Huthi disokong Tehran, manakala Riyadh mengetuai kerjasama ketenteraan menyokong kerajaan.

Kedua-dua negara itu juga bergelut untuk memegang pengaruh di Syria, Lubnan dan Iraq.

Jurucakap Kumpulan Krisis Antarabangsa, Dina Esfandiary, menyifatkan pengumuman itu bakal menjadi titik mula untuk dua kuasa besar Asia Barat itu untuk menyelesaikan isu masing-masing.

“Masalah yang mungkin timbul adalah jika mereka mengagih-agihkan rantau itu dan membuat keputusan hanya sesama mereka, dan kita akan kehilangan konteks serantau serta isu sebenar,” katanya.

Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian menyambut baik pengumuman itu dan memaklumkan Tehran akan menyediakan beberapa inisiatif serantau lain secara aktif.

“Pemulihan hubungan antara Tehran dan Riyadh membawa potensi besar kepada kedua-dua negara, rantau ini dan dunia Islam,” katanya menerusi Twitter.

Iraq, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Majlis Kerjasama Negara Teluk turut menyambut baik pengumuman berkenaan.

Rumah Putih turut mengalu-alukan perkara itu, namun memaklumkan masih belum jelas sama ada Iran akan ‘mematuhi janji mereka’. – AFP

Loading...
Terkini