comscore
Tumpuan :
Dunia

Jokowi gesa ASEAN dan India jalin kerjasama dalam ekonomi biru

Foto: Reuters

JAKARTA: Presiden Joko Widodo (Jokowi) menggesa ASEAN dan India bekerjasama dalam merealisasikan ekonomi biru bagi memberi manfaat lebih besar kepada rakyat kedua-dua pihak, lapor Agensi Berita ANTARA.

Bank Dunia menggambarkan ekonomi biru sebagai penggunaan sumber marin yang mesra alam yang bertujuan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, menambah baik kebajikan dan memelihara ekosistem marin.

“Kita masih perlu mengoptimumkan lagi kerjasama ini (antara ASEAN dan India),” katanya pada Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-20 di Pusat Konvensyen Jakarta, Senayan, pada Khamis.

Sidang kemuncak ke-20 ASEAN dan India diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 yang dianjurkan oleh Indonesia, selaku Pengerusi ASEAN 2023, berlangsung dari 5 hingga 7 September di Jakarta.

Dalam ucapan perasmian di Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-20 itu, Presiden Jokowi menyampaikan penghargaannya kepada Perdana Menteri Narendra Modi atas kehadiran beliau pada sidang kemuncak itu, meskipun India sedang sibuk dengan persiapan untuk menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak G20.

Presiden Jokowi berkata kerjasama yang terjalin antara ASEAN dan India telah memberikan manfaat bersama untuk komuniti, sambil menyatakan bahawa kedua-dua pihak masih perlu memanfaatkan peluang lain.

Lautan Hindi yang menghubungkan 33 negara, dengan jumlah penduduk 2.9 bilion, katanya berpotensi menyumbang sebanyak satu perlima kepada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia pada 2025.

Untuk mengoptimumkan potensi itu, negara-negara ASEAN dan India boleh meningkatkan kerjasama bagi merealisasikan ekonomi biru, mewujudkan hubungan maritim, selain mengekalkan sumber marin.

Beliau turut menyokong kerjasama dalam menangani jenayah maritim, seperti kegiatan lanun, dadah dan penyeludupan manusia, serta penangkapan ikan secara haram.

Presiden Indonesia itu juga menggalakkan pemimpin ASEAN dan India untuk terus bekerjasama demi menjadikan lautan sebagai arena persahabatan dan kerjasama, bukannya permusuhan dan konfrontasi.

ASEAN dan India juga harus terus mengekalkan kestabilan dan keamanan lautan dengan menghormati undang-undang antarabangsa, menggalakkan budaya kerjasama, serta membina acuan serantau yang inklusif.

“Itulah kunci bagi mewujudkan rantau yang boleh menjadi pusat pertumbuhan,” katanya.

Kenyataan Presiden Jokowi itu selari dengan tema “ASEAN Matters: Epicentrum of Growth” yang mencerminkan iltizam untuk meletakkan ASEAN sebagai pusat pertumbuhan ekonomi, politik dan sosiobudaya. – BERNAMA-ANTARA

Loading...
Terkini