comscore
Tumpuan :
Dunia

Lapangan Terbang Dubai keluarkan nasihat perjalanan

KUALA LUMPUR: Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai (DXB), antara lapangan terbang paling sibuk di dunia, menasihati penumpang supaya tidak datang ke lapangan terbang itu melainkan jika benar-benar perlu, berikutan keadaan cuaca buruk yang tidak pernah berlaku sebelum ini di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

DXB mengemas kini laman webnya pada Rabu untuk menangani gangguan berkaitan cuaca, menyatakan bahawa penerbangan masih ditangguhkan dan dialihkan.

“Sila hubungi syarikat penerbangan anda untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai status penerbangan anda.

“Kami sedang berusaha untuk memulihkan operasi secepat mungkin dalam keadaan yang sangat mencabar,” menurut DXB.

Memetik laporan media, UAE menyaksikan taburan hujan paling lebat direkodkan dalam tempoh 75 tahun iaitu dari lewat Isnin hingga Selasa malam, melepasi rekod sebelumnya sejak permulaan pengumpulan data pada 1949.

Hujan lebat itu telah menjejaskan banyak wilayah di seluruh negara itu.

Sementara itu, syarikat penerbangan dilaporkan mengalami gangguan dalam jadual penerbangan mereka.

Emirates Airline berkata ia menggantung daftar masuk bagi penumpang yang berlepas dari DXB dari 8 pagi pada 17 April hingga tengah malam, disebabkan oleh cabaran operasi yang disebabkan oleh cuaca buruk dan keadaan jalan raya.

Syarikat penerbangan yang berpangkalan di Dubai itu berkata penumpang yang tiba di Dubai dan sudah dalam transit akan terus diproses untuk penerbangan mereka.

“Pelanggan boleh menjangkakan kelewatan untuk berlepas dan ketibaan, dinasihatkan untuk menyemak jadual penerbangan terkini di https://emirat.es/flightstatus,” dalam hantarannya di platform X.

Sementara itu, flydubai telah menggantung sementara penerbangan yang berlepas dari Dubai sepanjang petang 16 April hingga 10 pagi (waktu tempatan Dubai) pada 17 April.

Etihad Airways dalam kenyataannya yang dilaporkan WAM berkata beberapa penerbangan mungkin ditangguhkan kerana keadaan cuaca buruk.

“Pelanggan dinasihatkan untuk sentiasa memeriksa etihad.com untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai perlepasan penerbangan mereka dan keluar awal untuk perjalanan ke lapangan terbang.

“Keselamatan dan keselesaan pelanggan dan anak kapal merupakan keutamaan nombor satu kami dan kami kesal dengan sebarang kesulitan yang timbul,” menurut kenyataan syarikat penerbangan itu.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini