comscore
Tumpuan :
Dunia

Negara miskin paling teruk terjejas akibat gelombang haba

WASHINGTON : Ekonomi global mengalami kerugian bernilai trilion dolar dengan negara miskin paling teruk terjejas dalam tempoh 30 tahun lalu susulan gelombang haba akibat perubahan iklim.
Kajian yang diterbitkan semalam itu antara lain turut mendedahkan kesan ekonomi berat sebelah menyumbang kepada perluasan ketidaksamaan di seluruh dunia.
Profesor Kolej Dartmouth Justin Mankin, antara pengarang kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science Advances, berkata kos akibat haba melampau susulan perubahan iklim setakat ini ditanggung secara tidak seimbang dan menyifatkan ia sebagai tragedi yang tidak masuk akal.
“Perubahan iklim memainkan serta memperluas landskap ketidaksamaan ekonomi,” katanya.
Kajian itu turut mengenal pasti kerugian kira-kira AS$16 trilion (RM75.56 trilion) susulan tempoh haba melampau, antara 1992 hingga 2013.
Kerugian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita tahunan bagi negara miskin dan kaya, masing-masing dicatatkan pada kadar kira-kira 6.7 peratus dan 1.5 peratus.
Perbezaan itu berpunca akibat kedudukan negara miskin biasanya terletak lebih dekat dengan kawasan tropika yang suhunya lebih panas susulan gelombang haba.
Kajian terbabit dikeluarkan beberapa hari sebelum sidang kemuncak iklim COP27 di Mesir dijadual bermula.
Ia dijangka membincangkan topik utama mengenai pampasan bagi negara yang terdedah secara tidak seimbang.
Kos daripada gelombang haba berpunca akibat beberapa faktor, iaitu kesan terhadap pertanian, tekanan kepada sistem kesihatan, produktiviti tenaga kerja dan kerosakan fizikal infrastruktur.
Penyelidik meneliti keadaan cuaca selama lima hari yang dianggap melampau untuk wilayah tertentu setiap tahun. – AFP
Loading...
Terkini