comscore
Tumpuan :
Dunia

New Delhi jangkau suhu tertinggi hampir 50 darjah Celsius

NEW DELHI: Suhu di ibu negara India menjangkau rekod tertingginya, 49.9 darjah Celsius.

Situasi itu memaksa pihak berkuasa mengeluarkan amaran mengenai masalah kekurangan air di bandaraya berkenaan.

Jabatan Meteorologi India (IMD) melaporkan gelombang haba teruk, dengan rekod suhu lebih tinggi dicatat di dua stesen pinggir bandar Delhi di Narela dan Mungeshpur.

Biro Cuaca pula memaklumkan suhu direkod adalah sembilan darjah lebih tinggi daripada jangkaan.

IMD menjangkakan suhu sama direkod hari ini untuk bandar dengan 30 juta penghuni itu, dengan notis amaran merah turut dikeluarkan untuk orang ramai lebih waspada.

Media tempatan India pada Mei 2022, melaporkan suhu di bahagian Delhi pernah mencecah 49.2 darjah Celsius.

Negara itu tidak asing dengan suhu panas melampau, namun penyelidikan saintifik berulang kali mendapati perubahan iklim menyebabkan gelombang haba menjadi lebih lama, lebih kerap dan terik.

Pihak berkuasa New Delhi juga memberi amaran mengenai risiko kekurangan air, apabila ibu kota itu dilanda musim panas, mengakibatkan bekalan ke beberapa kawasan dipotong.

Menteri Air, Atishi Marlena merayu semua pihak bertanggungjawab menghentikan penggunaan air yang tidak perlu bagi mengelak pembaziran.

IMD turut memberi amaran mengenai kesan haba terhadap kesihatan, terutamanya bayi, warga emas dan pesakit kronik.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini