comscore
Tumpuan :
Dunia

Pemimpin Tertinggi Iran meluluskan Mokhber sebagai Presiden Interim, isytihar 5 hari berkabung

Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei. – FOTO: Reuters

TEHRAN: Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei mengumumkan Naib Presiden pertama Iran, Mohammad Mokhber, 68, bertanggungjawab ke atas cawangan eksekutif dan mempunyai tempoh maksimum 50 hari untuk mengadakan pilihan raya berikutan kematian Presiden Ebrahim Raisi dalam nahas helikopter.

Lima hari berkabung nasional turut diisytiharkan.

Perlembagaan Iran menetapkan bahawa Naib Presiden pertama mengambil alih sekiranya berlaku kematian, pemecatan, peletakan jawatan, ketidakhadiran atau sakit selama lebih daripada dua bulan oleh Presiden.

Raisi disahkan maut bersama Menteri Luar, Hossein Amir-Abdollahian dan pegawai lain dalam nahas helikopter ketika menghampiri penghujung penggal empat tahun pertamanya sebagai Presiden.

Naib Presiden pertama Iran, Mohammad Mokhber. – FOTO: Reuters

Pelantikan sementara Mokhber memerlukan persetujuan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, yang mempunyai kata putus dalam semua urusan negara.

Sementara itu, Pilihan Raya Presiden untuk memilih pengganti tetap akan diadakan dalam tempoh 50 hari, mengikut Perlembagaan.

Sebuah majlis yang terdiri daripada Speaker Parlimen, Ketua Badan Kehakiman dan Naib Presiden akan ditugaskan untuk mengatur undi nasional.

Mokhber yang dilantik sebagai Naib Presiden ketika Raisi memegang jawatan pada Ogos 2021, dilahirkan di bandar Dezful di wilayah barat daya Khuzestan, di mana beliau memegang beberapa jawatan rasmi.

Selama bertahun-tahun sejak 2007, Mokhber mempengerusikan Pelaksanaan Perintah Imam Khomeini, sebuah organisasi kerajaan yang ditugaskan untuk menguruskan harta yang dirampas berikutan revolusi Islam 1979.

Yayasan itu, yang ditubuhkan pada 1980-an sudah berkembang selama bertahun-tahun menjadi sebuah konglomerat ekonomi negeri yang utama dengan saham dalam pelbagai sektor.

Jawatan Perdana Menteri tidak wujud di Iran dan Presiden dibantu oleh beberapa Naib Presiden bertanggungjawab melantik dan mengarahkan Kabinet. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini