comscore
Tumpuan :
Dunia

Penduduk Thailand bimbang penubuhan kerajaan baharu

Pemimpin Parti Move Forward (MFP), Pita Limjaroenrat, meraih undi tertinggi pada pilihan raya umum Thailand baru-baru ini, namun tidak mempunyai majoriti mencukupi bagi membentuk kerajaan. – FOTO: REUTERS

BANGKOK: Kebanyakan penduduk Thailand kini bimbang perdana menteri bakal dilantik bukan dari Parti Move forward (MFP) yang cuba membentuk gabungan lapan parti bagi memimpin negara selepas pilihan raya umum 14 Mei lalu.

Tinjauan pendapat Suan Dusit mendapati, meskipun gabungan lapan parti itu meraih majoriti di Dewan Perwakilan, ia masih tidak mempunyai 376 kerusi yang diperlukan bagi mengatasi Dewan Negara yang memiliki 250 kerusi dan turut berhak mengundi bagi menentukan perdana menteri seterusnya.

Justeru, blok berkenaan masih memerlukan sokongan sebahagian besar Senator bagi memastikan pemimpin MFP, Pita Limjaroenrat, menjadi perdana menteri ke-30 Thailand.

Menurut timbalan ketua MFP, Sirikanya Tansakun, gabungan lapan parti itu memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 19 Senator bagi memastikan kemenangan Pita.

Sehingga perdana menteri baharu dipilih, kerajaan sementara di bawah pimpinan Prayuth Chan-O-cha, jeneral tentera yang menggulingkan kerajaan pada 2014 dan kekal berkuasa sejak itu.

Jika tiada parti atau gabungan parti dapat membuktikan sokongan majoriti apabila Parlimen bersidang bulan depan dan pemilihan perdana menteri dilakukan pada pada minggu pertama Ogos, maka Prayuth boleh kekal berkuasa sehingga keputusan dicapai.

Berdasarkan tinjauan pendapat yang diterbitkan hari ini, kira-kira 67.8 peratus pengundi Thailand bimbang reformasi Thailand kembali kepada demokrasi akan berdepan halangan.

Mereka bimbang Pita dan MFP, yang menerima undi paling banyak dalam PRU 14 Mei lalu, tidak dapat menjadi perdana menteri dan parti berfikiran progresif itu akan disekat daripada daripada membentuk kerajaan baharu.

Tambahan pula, sudah wujud perbezaan pendapat dalam kalangan lapan parti gabungan diterajui MFP terutama dengan parti kedua terbesar gabungan itu, Pheu Thai, mengenai pelantikan Presiden dan Speaker Parlimen.

Kajian dijalankan Suan Dusit antara 24 dan 26 Mei lalu itu membabitkan 1,352 pengundi yang mengambil bahagian dalam tinjauan pendapat secara dalam talian.

Sejumlah 32.2 peratus yakin MFP akan dapat membentuk kerajaan dengan semua parti gabungan dapat mencapai persefahaman manakala 58.3 peratus lagi tidak yakin pembentukan kerajaan akan berjalan lancar dan 41.7 peratus tidak yakin sama sekali.

Ekonomi Thailand yang mengembang 2.7 peratus setiap tahun dengan memanfaatkan kebangkitan semula sektor pelancongan, kini berdepan tanda tanya berikutan kegagalan menunjukkan kestabilan politik. – AGENSI

Loading...
Terkini