comscore
Tumpuan :
Dunia

Pengaruh Thaksin Shinawatra masih kuat?

Thaksin (berpendakap leher) berjalan bersama anak perempuannya, Paetongtarn Shinawatra pada 14 Mac lalu sebelum pulang ke kampungnya di Chiang Mai. – FOTO: Reuters

BANGKOK: Jutawan Thaksin Shinawatra tidak ubah seperti seorang negarawan berbanding penjenayah dalam parol apabila berduyun-duyun ahli politik dilihat masih menyambutnya.

Ini termasuk mengadakan makan malam dan bekas Perdana Menteri Thailand pula masih diiringi polis ke mana sahaja.

Sebaik tiba, penyokong setia, menteri kabinet dan penggubal undang-undang juga terbang ke kampung halamannya di Chiang Mai untuk melawat dan berunding dengan Thaksin.

Selepas 15 tahun hidup dalam buangan, Thaksin kembali ke Thailand pada Ogos lalu dan beliau dibebaskan dengan parol pada 18 Februari, selepas hukumannya diringankan kepada setahun oleh raja.

Dalam beberapa segi pengaruh Thaksin dikatakan semakin kuat apabila dia masih dikaitkan sebagai sekutu Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin.

Tambahan pula parti keluarganya masih mempunyai pengaruh dan kuasa di kebanyakan tempat di Thailand.

Bekas Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen bergambar bersama Thaksin dalam satu pertemuan yang dikatakan diadakan di Bangkok, Thailand serta diedarkan 21 Februari 2024. – FOTO: Reuters

Adegan itu sangat berbeza ketika Thaksin, 74, meninggalkan hospital dengan pendakap leher dan lengan dianduh sebulan lalu.

Pemulihannya yang ketara itu menimbulkan rasa sinis daripada lawan politik tentang tahap penyakitnya dan kemarahan terhadap hukuman ringan dan kegagalannya walaupun untuk menghabiskan satu malam di penjara.

“Sekarang saya telah kembali, mereka yang tidak menyukai saya, boleh menjalani kehidupan mereka, saya dengan hidup saya,” kata Thaksin kepada pemberita pada Sabtu lalu.

Dalam sidang media itu, Thaksin turut menegaskan dia tidak sihat, mengalami masalah belakang dan masalah dengan tulang dan saraf.

Pengkritik berkata meskipun pengaruh Thaksin terhadap ahli politik tidak dapat dipersoalkan, kegagalan partinya tahun lepas untuk memenangi pilihan raya buat kali pertama sejak 2001 menunjukkan kuasanya yang lebih lemah daripada sebelumnya.

“Kami melihat bagaimana keadaan berjalan lancar tetapi di bawahnya adalah gelombang perubahan yang akan mengganggu masyarakat Thailand.”

“Kami melihat perbezaan antara politik lama yang kami lihat dalam beberapa hari lalu dan politik baharu yang mahu mengurangkan jurang perbezaan, yang tidak mahu melihat sekumpulan orang sahaja yang menggunakan wang dan kuasa untuk meletakkan diri mereka di atas undang-undang,” kata wartawan veteran Suthichai Yoon.

Kepulangan Thaksin dan pembebasan segeranya mencetuskan spekulasi bahawa perjanjian dilakukan dengan musuh-musuhnya untuk menyekat ancaman yang lebih besar kepada kedua-dua kem, Parti Move Forward yang popular, yang sudah memenangi pilihan raya lalu tetapi disekat.

Bagaimanapun, keluarga dan parti Thaksin menafikan sebarang perjanjian berlaku.

Seorang lagi tokoh politik Thailand yang menyangkal kebangkitan Thaksin, Titipol Phakdeewanich yakin bukan mudah untuk Thaksin untuk memenangi semula pengundi.

“Beliau mungkin masih berpengaruh dalam kalangan ahli politik tertentu.Tetapi sokongan awamnya yang sebenar sudah berubah selepas bertahun-tahun ini,” kata Titipol seorang saintis politik di Universiti Ubon Ratchathani.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini