comscore
Tumpuan :
Dunia

Penyelam temui 2 mayat dalam sungai susulan jambatan runtuh di Baltimore

Orang ramai melihat Jambatan Francis Scott Key yang runtuh ketika melawat Fort McHenry di Baltimore, Maryland, Amerika Syarikat, semalam. – FOTO: Reuters

BALTIMORE: Penyelam menemui dua mayat di dalam sungai susulan insiden jambatan runtuh akibat dilanggar kapal kargo yang sedang melalui Pelabuhan Baltimore.

Kedua-dua mayat berkenaan dibawa keluar dari Sungai Patapsco sehari selepas insiden kapal kargo melanggar struktur sokongan Jambatan Francis Scott Key sebelum jambatan terbabit runtuh.

Menurut pegawai polis Maryland, mayat kedua-dua lelaki itu ditemui dalam sebuah trak yang berada di dalam sungai kira-kira 25 kaki berhampiran bahagian tengah jambatan yang runtuh.

Beliau berkata, usaha untuk mencari mayat yang lain masih bergantung dengan keadaan yang semakin berbahaya.

Empat lagi mangsa yang juga sebahagian daripada pekerja membaiki jalan di jambatan berkenaan masih hilang dan diisytiharkan sebagai sudah meninggal dunia selepas 18 jam nahas berlaku.

Runtuhan jambatan yang menjadi laluan utama untuk ke Pelabuhan Baltimore berkenaan terpaksa ditutup. Pelabuhan itu antara pelabuhan yang paling sibuk di Laut Timur Amerika Syarikat (AS) yang mengendalikan banyak pengangkutan dan peralatan ladang.

Pasukan penyiasat persekutuan memeriksa kapal kargo itu sementara pasukan penyelamat meneruskan operasi mencari mayat yang lain.

“Tahan semua lalu lintas di jambatan utama. Ada sebuah kapal menghampiri yang baru sahaja hilang kawalan,” kata seseorang di radio polis beberapa minit sebelum nahas yang berlaku kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin.

Ketika suara kedengaran membincangkan langkah seterusnya, termasuk memaklumkan mana-mana pekerja supaya meninggalkan jambatan, seseorang berkata: “Seluruh jambatan tumbang!”. Audio itu dibawa oleh Broadcastify, perkhidmatan penstriman audio sumber terbuka.

Rakaman suara berkenaan menggambarkan bagaimana pihak berkuasa cuba menangani situasi genting berkenaan sebelum nahas menyebabkan enam pekerja pembaikan jambatan terkorban di lokasi berkenaan.

Kapal kargo Dali yang berbendera Singapura itu dilaporkan kehilangan kuasa dan gagal menjatuhkan sauh untuk memperlahankan kapal menjadikan pihak berkuasa tidak cukup masa untuk menghentikan lalu lintas di jambatan dan berkemungkinan mengelakkan kehilangan nyawa yang lebih besar.

Insiden terbabit telah menutup Pelabuhan Baltimore sepenuhnya dan menimbulkan kekacauan lalu lintas di Baltimore yang padat dengan penduduk.

Menurut penganalisis, insiden jambatan runtuh itu boleh menyebabkan syarikat insurans menanggung kos berbilion dolar dalam tuntutan, dengan meletakkan kos sebanyak AS$4 bilion yang akan menjadikan tragedi itu sebagai rekod kerugian insurans perkapalan. -REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini