comscore
Tumpuan :
Dunia

Perdana Menteri Slovakia keluar daripada bahaya mengancam nyawa, keadaan masih serius

Perdana Menteri Slovakia, Robert Fica menghadiri mesyuarat kerajaan sebelum kejadian tembak di Handlova, Slovakia hingga menyebabkan beliau cedera parah. – FOTO: Reuters.

ISTANBUL: Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico dilaporkan telah keluar daripada keadaan bahaya yang mengancam nyawa namun kecederaannya masih dalam keadaan serius, demikian kata timbalan beliau pada Ahad.

“Perkara buruk yang kita bimbangkan telah berlalu, sekurang-kurangnya buat masa sekarang,” kata Timbalan Perdana Menteri Slovakia, Robert Kalinak dalam satu sidang media di pekarangan hospital tempat Fico dirawat di bandar Banska Bystrica.

Fico ditembak beberapa kali pada hari Rabu ketika berinteraksi dengan penyokong di bandar Handlova, tengah Slovakia.

Menurut Kalinak, keadaan Fico masih serius dan tidak memungkinkan beliau dipindahkan ke hospital di ibu kota Slovakia.

“Kita semakin tenang. Apabila kita berkata kita mahu ke arah positif, saya percaya kita semakin hampir ke arah itu. Tetapi keadaannya masih serius dan oleh itu beliau akan kekal di bawah jagaan doktor di Hospital Banska Bystrica,” kata Kalinak.

Serangan itu adalah percubaan bunuh pertama ke atas kalangan pemimpin politik Eropah bagi tempoh lebih 20 tahun.

Mahkamah Jenayah Khas Slovakia semalam memutuskan suspek kekal dipenjara selepas didakwa atas pertuduhan melakukan percubaan membunuh.

Menurut media tempatan, suspek, 71, adalah bekas pengawal keselamatan di sebuah pusat membeli belah dan telah menghasilkan tiga buah buku sajak.

Menurut Menteri Dalam Negeri Slovakia, Matus Sutaj Estok, suspek marah berhubung polisi kerajaan ke atas Ukraine.

Kerajaan Fico menamatkan sokongan rasmi ketenteraan kepada Ukraine dan mula condong menyokong Rusia berhubung konfliknya dengan Ukraine.

Menurut kerajaan, suspek menjadi semakin radikal apabila sekutu Fico, Peter Pellegrini memenangi pilihan raya presiden Slovakia bulan lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini