comscore
Tumpuan :
Dunia

Pertumbuhan ekonomi global bawah 2 peratus – IMF

Foto: Reuters

WASHINGTON: Ketua Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva memberi amaran kelmarin bahawa risiko ekonomi dunia susut di bawah angka dua peratus semakin meningkat selepas ekonomi-ekonomi utama dunia menca­tat kelembapan.

Kemelesetan itu kali ter­akhir dilihat semasa pandemik COVID-19 dan krisis kewangan 2009.

Beliau membuat kenyataan itu ketika ekonomi-ekonomi terbesar dunia bergelut susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine yang mengakibatkan harga tenaga dan makanan melambung tinggi di samping lonjakan inflasi serta ekonomi China yang perlahan.

“Kebarangkalian pertumbuhan ekonomi perlahan semakin meningkat, dengan ang­ka di bawah dua peratus,” kata Georgieva pada sidang Reuters NEXT kelmarin, merujuk kepada ramalan IMF untuk 2023.

Menurutnya, IMF menjangkakan lebih satu pertiga ekonomi global menguncup pada tahun ini atau tahun depan dengan pertumbuhan Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah dan China terbantut.

Dana berkenaan juga bimbang tentang kelembapan serentak di AS, Eropah dan China, kata Georgieva sambil menambah, pertumbuhan ekonomi perlahan di China jelas signifikan.

“Ini adalah membimbangkan kerana dunia bergantung kepada China untuk lonjakan, dengan sekitar 35 hingga 40 peratus pertumbuhan ekonomi global dipacu pertumbuhan ekonomi kedua terbesar di dunia tersebut.

Berdasarkan angka Bank Dunia, ekonomi global merudum 3.3 peratus dalam tahun 2020 dan 1.3 peratus pada 2009. – AFP

Loading...
Terkini