comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

IMF naikkan unjuran ekonomi global kepada 3.1 peratus

WASHINGTON: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Selasa menaikkan unjuran pertumbuhan global 2024 kepada 3.1 peratus.

Langkah itu disebabkan daya tahan yang tidak dijangka dalam pasaran ekonomi maju dan sedang pesat membangun utama termasuk Amerika Syarikat dan China.

Angka yang dikemas kini, dikeluarkan dalam Tinjauan Ekonomi Dunia (WEO) adalah 0.2 peratus lebih tinggi daripada unjuran sebelum ini pada Oktober.

“Peluang pendaratan lembut telah meningkat, tetapi kadar pengembangan kekal perlahan dan risiko kekal,” katanya yang merujuk kepada percubaan penggubal dasar untuk mengurangkan inflasi dengan menaikkan kadar faedah sambil mengelak kemelesetan.

Walaupun peningkatan itu berlaku, IMF meramalkan bahawa pertumbuhan global akan kekal di bawah purata sebanyak 3.8 peratus tahun ini.

Ini disebabkan oleh kesan berterusan kadar faedah yang tinggi, penarikan langkah kerajaan yang berkaitan dengan pandemik dan tahap produktiviti yang rendah secara berterusan.

Di kalangan ekonomi maju Kumpulan Tujuh (G7), pertumbuhan di negara-negara Eropah kelihatan akan kekal lemah, mencerminkan cabaran yang berterusan, manakala Jepun dan Kanada dijangka meningkat sedikit.

Tinjauan inflasi keseluruhan IMF kekal tidak berubah pada 5.8 peratus untuk 2024.

Inflasi dalam ekonomi maju kini diramalkan sebanyak 2.6 peratus pada 2024, turun 0.4 mata peratus dari Oktober, manakala ekonomi sedang pesat membangun dijangka mencapai kadar inflasi tahunan sebanyak 8.1 peratus, meningkat 0.3 mata peratus. – AFP

Loading...
Terkini