comscore
Tumpuan :
Dunia

Puluhan sasaran Houthi di Yaman diserang tentera AS, Britain

WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) dan Britain melancarkan serangan terhadap puluhan sasaran Houthi di Yaman sejak semalam.

Tindakan ketenteraan terbaharu terhadap kumpulan dikaitkan dengan Iran itu dilakukan selepas pejuangnya secara berterusan menyerang kapal dagang yang menggunakan laluan di Laut Merah dan perairan berdekatan.

AS hampir setiap hari melancarkan serangan terhadap Houthi, yang menguasai bahagian paling padat penduduk di Yaman.

Pejuang Houthi mula menyerang kapal dagang di laluan berkenaan sejak 7 Oktober lalu, sebagai tanda solidariti kepada penduduk Palestin yang kini diserang Israel.

Namun, serangan AS setakat ini gagal menghentikan tindakan Houthi, yang didakwa mengganggu perdagangan global dan menaikkan kadar penghantaran, malah serangan boleh dikatangan meningkat.

Menurut kenyataan bersama negara yang mengambil bahagian dalam serangan atau memberikan sokongan kepada AS dan Britain, tindakan ketenteraan menjurus kepada 18 sasaran Houthi di lapan lokasi di Yaman.

Antaranya termasuk depoh senjata bawah tanah dan kemudahan penyimpanan peluru berpandu, sistem pertahanan udara, radar serta sebuah helikopter.

Serangan itu disokong oleh Australia, Bahrain, Kanada, Denmark, Belanda dan New Zealand.

Memetik sumber tentera Houthi yang tidak dinamakan, ia melaporkan serbuan baharu itu adalah ‘percubaan menyedihkan untuk menghalang Yaman daripada memberikan sokongan kepada rakyat Palestin di Gaza’.- REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini