comscore
Tumpuan :
Dunia

Qatar dan Bahrain pulihkan semula hubungan diplomatik

 

KAHERAH: Qatar dan Bahrain pada Rabu sepakat untuk memulihkan hubungan diplomatik selepas pergolakan serantau yang tercetus pada 2017.

Kementerian luar Bahrain dan Qatar memaklumkan bahawa hubungan diplomatik antara kedua-dua negara akan dipulihkan semula, menurut kenyataan yang dikeluarkan selepas pertemuan antara kedua-dua pihak di ibu pejabat Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di Riyadh.

Kedua-dua negara memaklumkan bahawa keputusan itu berpunca daripada keinginan untuk membangunkan hubungan dua hala dan meningkatkan integrasi dan perpaduan membabitkan enam negara GCC – terdiri daripada Bahrain, Kuwait, Qatar, Arab Saudi, Oman dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), lapor agensi berita Jerman (dpa).

Langkah itu dibuat selepas boikot yang berlanjutan selama dua tahun oleh Mesir, Arab Saudi, UAE dan Bahrain terhadap Qatar ditarik balik.

Pada 2017, empat negara Arab itu memutuskan hubungan diplomatik, perdagangan dan pelancongan dengan Qatar, dan menuduh Qatar menyokong kumpulan militan, satu tuduhan yang dinafikan Doha.

Pergolakan itu berterusan sehingga lima negara menandatangani deklarasi pada Januari 2021 yang menamatkan konflik itu.

Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS) Jake Sullivan mengalu-alukan pemulihan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara Teluk.

“Majlis Kerjasama Teluk yang bersatu sepenuhnya, di mana Bahrain dan Qatar adalah anggota penting, adalah… satu langkah penting ke arah mewujudkan rantau Timur Tengah yang lebih stabil dan makmur, termasuk melalui pengaturan komersial, ekonomi dan pertahanan yang lebih bersepadu,” kata Sullivan dalam satu kenyataan.  – BERNAMA-dpa

Loading...
Terkini