comscore
Tumpuan :
Sukan

Harimau Malaya dan Syria terikat 2-2

FOTO: Ihsan FAM

KUALA LUMPUR: Harimau Malaya mengorak langkah yang memberangsangkan menjelang kempen Piala Asia di Qatar apabila mengikat Syria 2-2 di Stadium Grand Hamad di Doha, Qatar, awal pagi tadi.

Perlawanan persahabatan yang dijalankan secara tertutup itu satu-satunya perlawanan ujian buat anak buah Kim Pan-gon sebelum memulakan saingan Kumpulan E dengan menentang Jordan, pada awal pagi Selasa depan waktu Malaysia.

Keputusan mengikat Syria yang berada pada kedudukan ranking jauh lebih tinggi 91 dunia itu memberi petanda positif untuk berdepan Jordan nanti.

Dalam aksi itu, Pan-gon menurunkan hampir kesemua pemain bagi menguji keupayaan anak didiknya selepas tiba ke Qatar sejak minggu lalu.

Malaysia yang menduduki ranking 130 dunia bermula garang apabila mendahului aksi menerusi jaringan pemain sensasi negara, Arif Aiman Hanapi pada minit 39 di babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, Syria yang diletakkan dalam Kumpulan B dan akan membuka kempen Piala Asia menentang Uzbekistan Ahad ini tampil lebih tersusun.

Hasilnya mereka berjaya meraih dua gol melalui Pablo Sabbag pada minit 70 dan Ibrahim Hesar empat minit kemudian.

Skuad Harimau Malaya tidak menyerah kalah apabila tonggak naturalisasi, Paulo Josue mengikat kedudukan di minit 78 sekali gus keputusan itu kekal hingga tamat aksi.

Selain berdepan Jordan pada aksi pertama Piala Asia nanti, skuad negara turut bertemu dua lagi lawan dalam Kumpulan E iaitu Bahrain (20 Januari) dan Korea Selatan (25 Januari).

Loading...
Terkini