comscore
Tumpuan :
Dunia

Raja Charles Rancang Ketepikan Putera Harry, Andrew Dalam Senarai Diraja

FOTO: AFP

LONDON: Raja Britain, Raja Charles III dilaporkan akan mengetepikan kerabat yang tidak menggalas tugas diraja termasuk anakandanya, Putera Harry dan adindanya, Putera Andrew (Duke of York) daripada senarai diraja.

Raja Charles juga dikatakan akan meminda Akta Pewaris Takhta untuk menambah Putera Edward (Earl of Wessex) dan kakaknya, Puteri Anne, lapor The Daily Telegraph dan BBC dengan memetik sumber.

The Telegraph melaporkan pindaan itu boleh dibawa ke Parlimen ‘dalam beberapa minggu’, memetik ‘orang dalam diraja’ sebagai berkata ia adalah ‘langkah logik’.

Istana Buckingham bagaimanapun belum mengulas secara rasmi perkara itu.

Pada masa ini, senarai diraja yang boleh mengambil alih buat sementara waktu bagi pihak Raja Charles yang berusia 73 tahun, jika sakit atau meninggal dunia termasuk isterinya, Camilla, pewaris takhta Putera William, Harry, Andrew dan anak perempuannya Beatrice, yang tidak menggalas tugas diraja.

Wartawan diraja Daily Express, Richard Palmer menerusi tweet berkata, bahawa pindaan akta ‘untuk mewujudkan lebih banyak pendirian bagi raja kini menjadi keutamaan, sumber telah mengesahkan’.

Beliau berkata, ini bermakna ‘raja tidak perlu meminta keluarga diraja yang tidak menjalankan tugas seperti Harry, Andrew atau Beatrice untuk mewakilinya’.

Peranan itu termasuk menandatangani dokumen dan menerima duta, kata BBC.

Isu pewaris takhta dibangkitkan di House of Lords Isnin lalu, dengan anggota Parti Buruh, Stephen Benn mempersoalkan keadaan semasa di mana Andrew dan Harry boleh menggunakan kuasa itu.

“Bukankah sudah tiba masanya untuk kerajaan menghadap raja untuk melihat sama ada pindaan yang wajar boleh dibuat kepada akta ini?” tanya Benn.

Ahli Parlimen kanan, Nicholas True turut mengesahkan perbincangan sedemikian, mengatakan bahawa kerajaan “akan sentiasa mempertimbangkan pengaturan yang diperlukan untuk memastikan daya tahan dalam pengaturan perlembagaan kita.”

“Mendiang Ratu Elizabeth ketika mengalami masalah kesihatan pada tahun terakhir hidupnya, meminta Raja Charles untuk mewakilinya pada acara seperti pembukaan Parlimen, menunjukkan bahawa undang-undang itu “masih sangat relevan”, kata Benn. – AFP

Loading...
Terkini