comscore
Tumpuan :
Dunia

Reaksi berbeza ‘darjat’ badan dunia terhadap Iran dan Israel

FOTO: Reuters

PARIS: Kekejaman dan serangan berterusan di bumi Palestin, tindakan ketenteraan di Lubnan dan terbaharu, serangan diplomat Iran di Damsyik, Syria yang mengorbankan puluhan ribu nyawa dan mencederakan orang awam. Namun tindakan Israel itu bagai tidak dianggap menyalahi undang-undang oleh dunia.

Amerika Syarikat, Britain, Eropah bahkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memerlukan masa atau tidak menganggap tindak-tanduk rejim itu boleh diklasifikasi sebagai serangan keganasan.

Sebaliknya lain pula dalam situasi ketika Iran melancarkan serangan ke atas Israel. Belum sampai 24 jam, bahkan belum ada yang dilaporkan maut atau cedera, ‘kelompok organisasi dunia’ pantas dan lantang mengeluarkan kecaman dan membidas gerakan Iran itu.

Dakwa mereka, serangan itu memburukkan lagi keadaan dan kestabilan di Asia Barat.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, menjanjikan ‘sokongan padu’ dan komitmennya terhadap Israel selepas mengadakan pertemuan tergempar dengan pegawai keselamatan tertingginya.

Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak pula, mengutuk serangan yang disifatkan ‘melulu’ itu, yang dakwanya ‘berisiko mencetuskan ketegangan dan menjejaskan kestabilan serantau’.

Ketua Hal Ehwal Luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell melalui muatnaik di media sosial X berkata, serangan itu adalah ‘peningkatan ketegangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan ancaman besar kepada keselamatan serantau’.

Malah, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres juga yang sebelum ini dilihat sukar membuat sebarang kenyataan apabila Israel menindas Palestin, mengecam Iran dan menganggap ia peningkatan serius menerusi serangan besar-besaran yang dilancarkan ke atas Israel oleh Republik Islam Iran.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, dalam satu kenyataan bersama wartawan di Ottawa berkata, negaranya ‘dengan tegas mengutuk serangan udara Iran’, sambil menambah, mereka berdiri bersama Israel’.

Dalam pada itu, Kementerian Luar Arab Saudi dan Mesir menyatakan ‘kebimbangan yang mendalam’ terhadap peningkatan permusuhan dan menggesa ‘sekatan maksimum’ daripada memburukkan lagi keadaan.

Sementara Kementerian luar China menggesa semua pihak bersabar dan menyifatkan serangan itu sebagai ‘limpahan terbaru konflik Gaza’ serta menggesa pelaksanaan resolusi UNSC baru-baru ini yang menuntut gencatan senjata, dengan menegaskan konflik perlu berakhir sekarang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini