comscore
Tumpuan :
Dunia

Switzerland tarik balik pemeriksaan tambahan ke atas produk makanan Jepun selepas insiden Fukushima

Foto : Reuters

TOKYO: Pemeriksaan tambahan terhadap eksport makanan Jepun ke Switzerland dan Liechtenstein, yang dikenakan selepas bencana nuklear Fukushima 12 tahun lalu, ditarik balik pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pada 11 Mac 2011, tsunami yang melanda pantai Jepun, telah menyebabkan beribu-ribu kematian dan menjejaskan loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi.

Demi melindungi kesihatan awam, banyak negara mengenakan pemeriksaan keradioaktifan pra-eksport ke atas makanan dan produk pertanian dari Jepun.

Kesatuan Eropah mengumumkan ia telah menarik balik sekatan yang sama pada Julai.

Tujuh negara dan wilayah, termasuk China dan Korea Selatan masih mengenakan sekatan import ke atas makanan Jepun.

Langkah itu dibuat ketika Jepun bercadang untuk melepaskan air yang digunakan untuk menyejukkan reaktor yang tidak lagi berfungsi ke dalam laut selepas ditapis dan dirawat.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa telah meluluskan rancangan kerajaan untuk membebaskan sejumlah besar air radioaktif yang telah dirawat ke Lautan Pasifik. – BERNAMA-dpa

Loading...
Terkini