TEHRAN: Staf Am Angkatan Bersenjata Iran telah mengeluarkan laporan pertama mengenai aspek dan sebab-sebab di sebalik kemalangan helikopter baru-baru ini yang mengorbankan Presiden Ebrahim Raisi dan delegasinya.
Laporan tersebut dikeluarkan pada Khamis, memberikan lebih banyak maklumat mengenai insiden yang berlaku pada Ahad (19 Mei), iaitu Raisi dan rombongannya termasuk Menteri Luar, Hossein Amirabdollahian terkorban, selepas helikopter yang membawa mereka terhempas di barat laut Iran, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
Sebuah pasukan penyiasat yang ditugaskan untuk menyiasat insiden tersebut telah dihantar ke lokasi kemalangan pada Isnin, menurut laporan itu.
Pasukan tersebut berjaya mengumpul “sebahagian besar” maklumat yang diperlukan untuk menyiasat elemen-elemen yang mungkin menyumbang kepada insiden itu, tambahnya.
Helikopter yang turut membawa pegawai kanan itu terhempas ketika terbang di sepanjang laluan yang telah dirancang, kata laporan berkenaan, sambil menyatakan bahawa pesawat tidak menyimpang dari laluan.
Helikopter tersebut terbakar selepas terhempas di kawasan pergunungan dan mendedahkan bahawa bangkai pesawat tidak mempunyai sebarang kesan peluru atau tanda-tanda kesan yang serupa.
Menurut laporan itu, lokasi kemalangan dikesan oleh dron Iran pada 5 pagi (waktu tempatan) Isnin, dan pasukan mencari tiba tidak lama kemudian.
Komunikasi yang berlaku sebelum insiden antara pesawat dan kawalan darat tidak mengandungi kandungan yang “mencurigakan”, kata laporan itu dan menyatakan bahawa negara akan diberitahu tentang sebarang penemuan susulan pada masa yang sesuai.- BERNAMA-IRNA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Malaysia berdukacita di atas tragedi menimpa Presiden Iran dan delegasi kepemimpinan Iran – PM
- Kerajaan Iran adakan mesyuarat tergempar susulan kematian Presiden Ebrahim Raisi
- Helikopter membawa Presiden Iran terhempas
- SAR helikopter dinaiki Presiden Iran masih berjalan
- Lokasi helikopter Raisi terhempas ditemui, keadaan ‘tidak baik’
- Helikopter ditemui terhempas, Presiden Iran dikhuatiri maut
- Presiden Iran, menteri luar terkorban dalam insiden helikopter terhempas
- Jenazah Presiden Iran dan mangsa lain dibawa ke Tabriz