comscore
Tumpuan :
Dunia

WHO bimbang serangan Israel ke Rafah bakal cetus malapetaka lebih besar

Foto: Reuters

NEW YORK: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerusi Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus melahir kebimbangan, mengenai kemungkinan pencerobohan darat Israel ke atas Rafah, selatan Gaza, yang menempatkan lebih sejuta rakyat Palestin yang mencari perlindungan susulan konflik Israel-Hamas.

Menurutnya, pencerobohan berskala penuh ke atas Rafah akan mencetuskan malapetaka kemanusiaan.

Justeru badan itu merayu agar Israel tidak meneruskan langkah itu.

Tedros juga menggesa semua pihak mencari jalan terbaik bagi melaksanakan gencatan senjata dan mencari keamanan yang berkekalan.

Kenyataan beliau dibuat selepas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Selasa berikrar untuk menyerang Rafah, meskipun terdapat laporan kemungkinan perjanjian gencatan senjata dengan Hamas.

Netanyahu berkata tentera Israel akan memasuki Rafah untuk memusnahkan batalion Hamas dengan atau tanpa perjanjian.

Kenyataan itu dibuat ketika laporan cadangan gencatan senjata baharu sedang dibincangkan oleh Hamas dan Israel bagi menamatkan konflik di Gaza.

Israel melancarkan serangan berterusan ke atas Gaza sejak serangan rentas sempadan oleh kumpulan Hamas Palestin pada 7 Oktober lalu.

Sehingga kini, lebih 34,500 warga Palestin terkorban kebanyakan wanita dan kanak-kanak, selain ribuan lagi cedera.

Lebih memilukan apabila ada yang menjadi hilang upaya sama ada cacat anggota badan atau menjadi buta.

Keganasan rejim juga mengakibatkan kemusnahan besar, kekurangan keperluan asas yang teruk serta mengundang krisis kebuluran dan kekurangan zat makanan.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serangan lebih enam bulan itu menyaksikan sebahagian besar infrastruktur di wilayah terkepung itu rosak atau musnah, dan menyebabkan 85 peratus penduduk hilang tempat tinggal.

Rejim Israel dalam pada itu juga dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Keputusan interim pada Januari lepas mengarahkan Tel Aviv menghentikan tindakan genosid dan mengambil langkah menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini