comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

Guru agama JAHEAIK cekal berdakwah di pedalaman Orang Asli selama 14 tahun

Mohd Alwi Ismail (kiri) bersama rakannya dalam perjalanan ke Pos Balar.- Foto: NSTP

GUA MUSANG: Sekali pandang, orangnya cuma biasa-biasa.

Tapi dalam bab dakwah, Moha Alwi Ismail bukan calang-calang.

Dan mungkin kerana itu, kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK), Mohd Alwi digelar muallim oleh kalangan penduduk Orang Asli di Pos Hau dan Pos Balar di sini.

Berusia 41 tahun, Mohd Alwi sudah 14 tahun melakukan kerja dakwah di kawasan pedalaman Orang Asli itu.

Mengimbau kembali kali pertama menjejak kaki ke kawasan pedalaman Orang Asli, segalanya terasa terlalu asing buat dirinya.

Katanya, cabaran terbesar dalam kerja dakwahnya kepada masyarat Orang Asli kaum Temiar itu adalah bahasa kerana tidak semua daripada mereka memahami bahasa Melayu.

“Kali pertama sampai Pos Balar pada tahun 2010 dan ketika itu kehadiran saya tidak diendahkan penduduk malah dipulaukan mereka kerana dianggap orang asing.”

“Untuk mendekati mereka, saya mencabar diri untuk belajar bahasa Temiar yang membolehkan saya berkomunikasi secara terus dan mengambil masa selama tujuh bulan untuk mendekati dan masuk dalam komuniti mereka.”

“Alhamdulillah. Sekarang saya dan mereka sudah diibaratkan sebagai keluarga. Di sini selain mengajar agama, saya bersama dua lagi rakan turut menguruskan urusan pendaftaran perkahwinan Orang Asli,” katanya ketika ditemui di Pos Balar.

Bercerita lanjut, Mohd Alwi berkata walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga yang tinggal di Dewan Beta, Kota Bharu, dia tetap menerima tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab dan gembira kerana semakin ramai masyarakat Orang Asli yang berminat mendalami ilmu agama.

“Di sini, saya juga mengajar asas fardu ain, Iqra dan solat kepada penduduk Orang Asli selain melakukan aktiviti ziarah dari rumah ke rumah untuk berdakwah.”

“Sehingga kini lebih 300 penduduk di Pos Balar sudah menjadi murid saya dan belajar agama. Ini membuatkan saya gembira dan rasa berbaloi dengan pengorbanan berjauhan dengan keluarga, di mana setiap tiga minggu sekali akan pulang ke Kota Bharu bertemu keluarga,” katanya.

Katanya, tidak dinafikan perjalanan untuk pulang dan datang ke pos pedalaman itu adalah sangat mencabar apabila terpaksa berhadapan dengan keadaan jalan rosak terutama pada musim hujan.

“Tidak hanya cabaran dengan keadaan jalan, kami juga terpaksa sentiasa bersedia sekiranya terserempak dengan binatang buas seperti gajah dan berung.”

“Namun dengan pengalaman yang ada, ada kalanya kami sudah boleh menghidu bau hiawan liar dan kesan jejak yang ditinggalkan, jadi kami perlulah lebih berhati-hati.”

“Selain bau, biasanya kita dapat tahu mengenai kehadiran mereka berdasarkan bunyi-bunyian yang dapat didengari dari dalam hutan,” katanya yang menggunakan motosikal jenis Honda EX5 untuk meredah hutan belantara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini