comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

Johan hafazan, elak makanan syubhah untuk mudah hafal Al-Quran

ohan Hafazan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) (kategori 1-30 juzuk) Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi, Muhammad Rifae’i Mat Zuki menunjukkan sijil dan trofi yang dimenangi. FOTO: NSTP

SUNGAI PETANI: Johan Hafazan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) (kategori 1-30 juzuk) Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi, Muhammad Rifae’i Mat Zuki hanya mengambil masa 13 bulan untuk menghafal kitab itu dengan syahadah empat tahun lalu.

Muhammad Rifae’i, 18, berkata dia menerima pendedahan dengan kalam Allah sejak berusia lima tahun daripada kedua ibu bapanya dan seterusnya mula mempelajari dan membaiki bacaan menerusiYouTube pada usia 10 tahun.

“Pada usia 10 tahun saya sudah melihat dan mendengar bacaan Syeikh Misyari Rashid al-Afasi, ketika berusia 12 tahun saya memilih untuk melanjutkan pengajian di Akademi Darul Ilmi, Sungai Layar di sini untuk menghafal Al-Quran.”

“Alhamdulillah di bawah bimbingan pengasas akademi ini iaitu Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub dan guru-guru lain serta rakan, saya berjaya hafal Al-Quran dalam masa 13 bulan dengan syahadah, selepas berjaya menghafal saya sentiasa ulang setiap hari di samping memberi tumpuan dengan pengajian di sini,” katanya ketika ditemui di akademi berkenaan di sini, hari ini.

Johan Hafazan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) (kategori 1-30 juzuk) Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi, Muhammad Rifae’i Mat Zuki bersama rakan akademi menunjukkan sijil dan trofi yang dimenangi. FOTO: NSTP

Pelajar yang berasal dari Kampung Sungai Layar Hujung di sini berkata kejayaan yang dimilikinya kini bukan sesuatu perkara yang perlu dibanggakan kerana ia disertai dengan tanggungjawab sebagai muslim.

Katanya, dia sentiasa mendengar nasihat Ustaz Mohamad Wadi untuk membetulkan niat dan menjadi contoh kepada umat Islam di samping menjadikan kejayaan itu sebagai tiket untuk berdakwah.

“Setiap hari seawal jam 5 pagi saya akan bangun untuk menghafal Al-Quran dan hanya berhenti untuk solat, makan serta mengikuti pengajian, pada waktu malam saya akan sambung menghafal sehingga 10 malam.”

“Semuanya tidak datang dengan mudah, saya perlu berusaha untuk pastikan Al-Quran sentiasa di dada. Guru saya pernah berpesan, hendak jadi luar biasa, perlu hidup cara luar biasa,” katanya yang sudah enam tahun menuntut di akademi itu.

Ketika ditanya resepi kejayaan bagi memudahkan dia menghafal Al-Quran, anak bongsu daripada empat beradik ini berkata dia sentiasa meninggalkan makanan syubhah.

Katanya, tidak semua makanan akan diambil termasuk hanya makan gula-gula dan coklat yang diyakini sahaja.

Muhammad Rifae’i berkata dia kini sedang membuat persediaan untuk mewakili negara ke peringkat antarabangsa yang dijangka berlangsung Oktober depan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur.

“Apabila berjaya ke peringkat antarabangsa, saya bercita-cita untuk berjumpa dengan ulama Syria yang juga pemegang sanad Al-Quran tertinggi di dunia, Syeikh Muhammad Kurayyim Rajih.”

“Saya berhasrat untuk membaca Al-Quran di depan beliau dan jika diberi kesempatan saya ingin ambil ‘ijazah’ dan sanad daripada beliau,” katanya.

Sementara itu pengasas yang juga pengerusi akademi berkenaan, Mohamad Wadi berkata kejayaan Muhammad Rifae’i adalah satu pencapaian yang boleh dijadikan contoh.

“Ia menunjukkan bahawa usaha berterusan dan sokongan padu daripada semua pihak termasuk ibu bapa dan guru-guru mampu melahirkan generasi cemerlang yang bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga mempunyai pegangan agama yang kukuh,” katanya.

MTHQK 2024, program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan kerjasama kerajaan Pahang berlangsung selama enam hari di negeri itu bermula 23 Mei dan menampilkan 110 peserta dari seluruh negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini