comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

JPNS lepas 105,000 benih ikan, udang galah bantu nelayan darat Negeri Sembilan

Ketua Daerah Perikanan Tampin/Rembau, Md Johari A Latif (dua dari kiri) bersama kakitangan jabatan melepaskan benih ikan dan udang galah di hulu Sungai Muar, di Kampung Pasir Besar, Gemas. FOTO: Ihsan Perikanan Negeri Sembilan

TAMPIN: Sebanyak 105,000 ekor benih udang galah dan ikan air tawar dilepaskan di hulu Sungai Muar dan Sungai Rembau di sini oleh Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS) dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Ketua Daerah Perikanan Tampin/Rembau, Md Johari A Latif berkata program pelepasan benih udang galah dan ikan air tawar ini bagi menambah stok sumber perikanan darat di sungai berkenaan.

Katanya, pelepasan benih ini membabitkan 100,000 udang galah yang dilepaskan sebanyak dua kali iaitu 50,000 setiap satu dan 5,000 pula ikan air tawar.

FOTO: Ihsan Perikanan Negeri Sembilan

Menurut Md Johari, jumlah pelepasan benih ini sudah melebihi sasaran ditetapkan iaitu 30,000 ekor bagi setiap daerah setahun.

Benih udang galah disumbangkan oleh Pusat Penetasan Udang Galah, Kampung Acheh, Perak.

“Kami perlu pastikan stok sumber perikanan di kedua-dua sungai berkenaan kekal baik untuk manfaat nelayan di dua daerah terbabit,” tambahnya.

FOTO: Ihsan Perikanan Negeri Sembilan

Beliau berkata pelepasan benih ikan dan udang galah ini akan diteruskan dari masa ke masa sepanjang tahun ini dan pihaknya tidak menetapkan sasaran tertentu.

Menurut Johari, ketika ini terdapat seramai lapan nelayan darat yang berdaftar dan mempunyai lesen daripada JPNS manakala kira-kira 50 orang lagi adalah nelayan sambilan.

“Di Rembau, mereka dikategorikan sebagai nelayan pinggir pantai yang kebanyakannya menjalankan aktiviti menangkap ikan dan udang galah di Sungai Timun,” katanya.

Beliau berkata melalui aktiviti dijalankan, setiap nelayan terbabit mampu memperoleh pendapatan antara RM1,300 hingga RM1,600 sebulan hasil tangkapan dan jualan ikan darat serta udang galah di sungai berkenaan.

Menurutnya, ikan darat seperti baung dan lampan selain udang galah mendapat permintaan tinggi di pasaran dan boleh dijual pada harga antara RM20 hingga RM60 sekilogram.

Katanya, jabatan akan terus komited membantu memastikan pendapatan nelayan tempatan meningkat dan akan tetap berusaha mencapai sasaran pelepasan benih ikan di sungai ini setiap tahun.

“Tumpuan kita untuk memastikan pendapatan nelayan darat meningkatkan kerana mereka bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan ikan dan udang galah selain dalam masa sama memberi juga peluang kepada pemancing rekreasi,” katanya.

Johari turut mengalu-alukan kerjasama dan sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Malaysian Anglers Club yang aktif menjalankan aktiviti pelepasan benih ikan di perairan umum.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini