comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

Modul pembelajaran ciptaan UPSI berkesan majukan pendidikan murid Orang Asli Perak

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Dr Norkhalid Salimin bersama pelajar murid Orang Asli. FOTO: Ihsan UPSI

TANJUNG MALIM: Modul pembelajaran yang dibangunkan oleh tenaga pakar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya membantu proses pembelajaran dan meningkatkan pencapaian murid anak Orang Asli di negeri Perak.

Dalam keputusan SPM yang diumumkan baru-baru ini misalnya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong, Sungai Siput muncul satu-satunya sekolah menengah Orang Asli di Malaysia memperolehi pencapaian 100 peratus lulus.

Menurut Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff modul itu merangkumi asas pembelajaran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira, kelestarian minat, motivasi, kemahiran insaniah serta komunikasi.

Ia dibangunkan bersama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di bawah program pembangunan insan EmpowerNCER Akademik@Perak dan turut mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak; Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“UPSI sebagai sebuah universiti pendidikan yang menampilkan pelbagai teknik atau pedagogi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) mempunyai kemudahan lengkap penyelidikan dalam bidang pendidikan,” kata Dr Md Amin.

Antara murid Orang Asli yang berjaya dalam peperiksaan SPM 2023 baru-baru ini. FOTO: Ihsan UPSI

Tambahnya, modul ini mula dilaksanakan sejak 2020 bertujuan meningkatkan pencapaian akademik dan peratusan kehadiran murid Orang Asli terutama dalam fasa peralihan ke Tahun Enam dan sekolah menengah.

Ia ditulis oleh Prof Madya Dr Abdul Halim Masnan, Dr Seah Siok Peh serta Azila Alias dari Fakulti Pembangunan Manusia (FPM).

Sementara itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Dr Norkhalid Salimin berkata modul itu ternyata berkesan dalam memajukan pendidikan murid Orang Asli dan murid daripada keluarga miskin.

Jelasnya, penerbitan modul itu selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi agenda Memasyarakatkan Universiti (U4S) dan Agenda Keempat dalam memacu kesejahteraan komuniti.

“Selain modul, seramai 1,400 pelajar keluarga B40 daripada 22 sekolah di tujuh daerah di Perak memperoleh manfaat daripada program penyerahan peranti tablet di bawah program EmpowerNCER Akademik@Perak,” katanya.

Tidak sahaja membabitkan keputusan keseluruhan peperiksaan SPM 2023, modul itu turut membantu murid Orang Asli dalam mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.

Hasilnya, tiga pelajar murid Orang Asli di Perak mencapai keputusan cemerlang 5A iaitu Bless Bah Hashim dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Tajul Ariffin, Kuala Kangsar;  Sabrina A/P Juhamat dari SMK Slim, Muallim dan Zamali A/L Alang Achun dari SMK Dato’ Abdul Rahman Yaakob.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini